KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melancarkan portal laman web terbaharunya KKMNOW menjadikannya kementerian pertama menyediakan sumber data terbuka kepada orang ramai.
Portal itu adalah pengembangan daripada portal CovidNow akan menampilkan data dan kemas kini mengenai sistem penjagaan kesihatan awam negara.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata laman web data terbuka adalah inovasi yang diperkenalkan daripada data CovidNow yang diperkenalkan semasa pandemik Covid-19.
“Orang ramai kini boleh mendapatkan data penjagaan kesihatan dan membuat keputusan tertentu berkaitan kesihatan mereka berdasarkan maklumat daripada portal baru ini,” katanya pada Majlis Pelancaran KKMNOW di Putrajaya.
Beliau berkata keberkesanan laman web itu terbukti apabila data yang dikongsi kementerian setiap hari bukan sahaja bermaklumat tetapi juga membantu memastikan orang ramai selamat mengenai kes harian Covid-19, kematian dan statistik vaksinasi.
“Inisiatif ini adalah pengembangan portal CovidNow. Ia akan menyediakan maklumat terkini mengenai sistem penjagaan kesihatan awam, kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh kementerian.
“Selaras dengan sistem data terbuka kementerian, dasar ketelusan dan data yang banyak tersedia, kami menyediakan KKMNOW.
“Kami harap usaha ini dapat mewujudkan kesedaran dan membantu rakyat Malaysia memantau kemudahan kesihatan awam yang tersedia mengikut daerah dan setiap negeri,” katanya.
Beliau berkata portal itu adalah kerjasama kementerian dan Jabatan Perangkaan bagi membantu orang ramai memahami situasi kesihatan negara.
“Dengan portal ini orang ramai boleh mendapatkan data yang lebih khusus dan komprehensif tentang penjagaan kesihatan awam.
“Kami berharap data itu berguna kepada semua dan membantu rakyat Malaysia memahami trend dan situasi kesihatan (negara) berdasarkan data masa nyata yang terdapat di KKMNOW,” katanya.
Antara data sumber terbuka yang boleh didapati melalui portal yang baru dilancarkan itu ialah stok ubat di seluruh negara, data bank darah, penggunaan katil hospital, statistik terkini mengenai penyakit dan masa tindak balas ambulans daripada MERS999. – 5 Oktober, 2022.
Komen