KEGAGALAN pelancaran peluru berpandu balistik mencetuskan panik di bandar Korea Selatan yang biasanya tenang selepas ia terhempas dan mencetuskan kebakaran besar, kata pegawai hari ini.
Sekutu keselamatan Seoul dan Washington mengadakan beberapa latihan bersama, termasuk meletupkan bom dan pelancaran peluru berpandu, sebagai tindak balas kepada Korea Utara yang menembak peluru berpandu balistik jarak sederhana (IRBM) ke Jepun pada Selasa.
Tentera Korea Selatan melepaskan peluru berpandu balistik jarak dekat Hyunmoo-2 pada lewat Selasa tetapi ia tidak berfungsi dan terhempas sejurus selepas dilancarkan.
Propelan peluru berpandu itu terbakar tetapi hulu peledaknya tidak meletup, kata seorang pegawai tentera Korea Selatan memberitahu agensi berita Yonhap.
Rakaman media sosial yang viral—tidak dapat disahkan oleh AFP—menunjukkan bola api jingga di kawasan yang dikatakan pengguna berada berhampiran pangkalan tentera udara berdekatan Gangneung di pantai timur negara itu.
“Ramai penduduk yang panik menelefon dewan bandar raya,” kata seorang pegawai di Dewan Bandaraya Gangneung kepada AFP.
“Pada mulanya kami tidak tahu apa yang berlaku kerana tidak menerima sebarang notis daripada tentera mengenai latihan sedemikian,” tambahnya yang enggan disiarkan nama.
Korea Selatan dan Utara kekal berperang secara teknikal selepas Perang Korea 1950-53 berakhir dengan gencatan senjata dan bukannya perjanjian damai.
Konflik bersenjata antara kedua-dua jiran jarang berlaku, tetapi nahas peluru berpandu itu membuatkan sesetengah penduduk percaya perang telah meletus.
“Saya sangka ada perang tetapi ia ternyata latihan ketenteraan,” kata seorang pengguna di Twitter.
“Apa yang menyebabkan mereka ambil masa lama untuk mengesahkan? Jika berlaku peperangan, kami mungkin akan mengetahuinya pada hari berikutnya,” tulis pengguna Twitter lain.
Ketua Turus Bersama Korea Selatan berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihaknya sedang meneliti punca nahas itu. – AFP, 5 Oktober, 2022.
Komen