SEKURANG-KURANGNYA 25 orang maut selepas bas yang membawa tetamu majlis perkahwinan terbabas dan jatuh ke dalam gaung di utara India, kata polis hari ini.
Kenderaan itu sedang melalui lebuh raya di pergunungan berbahaya di negeri Uttarakhand ketika ia terbabas dan terjunam sekurang-kurangnya 500m dengan kira-kira 45 orang di dalamnya.
“Sebanyak 20 orang diselamatkan,” kata pegawai tertinggi polis negeri Ashok Kumar kepada AFP.
Perdana Menteri Narendra Modi berkata semua bantuan diperlukan akan diberikan kepada mangsa yang terselamat.
“Ketika tempoh tragis ini, saya teringat dengan keluarga yang ditinggalkan,” tulisnya di Twitter pada Rabu.
Kemalangan jalan raya yang membawa maut sering berlaku di Uttarakhand, yang merangkumi sebahagian daripada Himalaya India dan banyak lokasi kuil.
Puluhan orang terbunuh pada Jun apabila bas mereka terjunam ke dalam gaung ketika dalam perjalanan ke kuil di utara ibu negeri Dehradun.
India menyumbang 11% daripada jumlah kematian jalan raya global walaupun hanya memiliki hanya satu peratus daripada kenderaan dunia, menurut laporan Bank Dunia yang dikeluarkan tahun lalu.
Laporan yang sama menganggarkan 150,000 kematian akibat kemalangan kereta di India setiap tahun, atau seorang bagi setiap empat minit.
Ia menambah kemalangan jalan raya merugikan ekonomi India sekitar AS$75 bilion setiap tahun, dengan perbelanjaan perubatan dan kehilangan pendapatan menyebabkan ramai mangsa yang terselamat terjerumus dalam kemiskinan. – AFP, 5 Oktober, 2022.
Komen