PBB bersidang Isnin ini bincang aneksasi wilayah Ukraine


Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy telah menuntut Rusia dikecualikan daripada semua organisasi antarabangsa. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2022.

PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan sidang tergempar pada 10 Oktober ini berhubung aneksasi (pengilhakan) Rusia ke atas wilayah Ukraine, menurut seorang jurucakap.

Ukraine dan Albania meminta sidang itu diadakan selepas Rusia memveto resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mengecam referendum “haram” yang disokong Moscow untuk menggabungkan bahagian timur Ukraine, lapor Agensi Anadolu.

Referendum dan pengumuman pengilhakan oleh Presiden Rusia Vladimir Putin menerima kecaman meluas masyarakat antarabangsa.

Perhimpunan Agung 193 anggota itu akan membincangkan mengenai pengilhakan empat wilayah Ukraine iaitu Donetsk, Luhansk, Zaporizhzhia dan Kherson yang disifatkan mencabuli undang-undang antarabangsa.

Menurut diplomat Kesatuan Eropah merangka satu resolusi untuk badan PBB itu menimbangkan mengecualikan Rusia daripada komuniti antarabangsa jika diundi. 

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy telah menuntut Rusia dikecualikan daripada semua organisasi antarabangsa. – Bernama, 5 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen