PUTRAJAYA tidak akan menuntut kapal layar mewah Equanimity milik Jho Low yang dirampas pihak berkuasa Indonesia, kata Mohamed Apandi Ali.
Apandi yang juga peguam negara berkata kerajaan tidak akan menuntut sesuatu yang bukan hak miliknya.
“Kenapa kerajaan mahu tuntut sesuatu yang bukan hak miliknya?” beliau dipetik sebagai berkata oleh portal berita Malaysiakini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan yang menyebut pihak berkuasa Indonesia telah merampas kapal layar mewah bernilai RM1 bilion yang didakwa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dibeli oleh Low menggunakan wang yang didakwa diseleweng daripada syarikat bermasalah 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dinamakan DoJ sebagai dalang utama yang menyeleweng berbilion dolar wang milik syarikat pelaburan itu.
Kapal yang berlabuh di perairan dekat Pulau Bali itu, boleh memuatkan 26 penumpang dan 33 krew. Ia turut memuatkan landasan helikopter.
DoJ telah memulakan siasatan jenayah ke atas dakwaan penyalahgunaan dana daripada 1MDB dan pada September telah dibenarkan untuk menangguhkan saman sivil yang difailkannya sejak dua tahun lepas bagi merampas hartanah dan aset lain bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.3 bilion).
Dalam kes saman sivil tersebut, jabatan berkenaan mendakwa, lebih AS$4.5 bilion dana milik 1MDB dipindahkan oleh pegawai tertinggi syarikat pelaburan tersebut bersama-sama rakan subahatnya pada 2009 hingga 2015.
Pada Jun, DoJ memfailkan lagi saman untuk merampas AS$540 juta aset, termasuk Equanimity dan hak filem Dumb and Dumber To, yang dihasilkan Red Gradnite, sebuah rumah produksi yang turut dimiliki anak tiri Najib, Rizi Aziz.
Bagaimanapun, ahli perniagaan dalam pelarian itu menuduh DoJ bertindak melampaui batas, selepas tindakan rampasan semalam.
Jurucakap ahli perniagaan dalam pelarian dan rakan subahat Perdana Menteri Najib Razak itu berkata walaupun prosiding rampasan aset dikekalkan, DoJ masih meneruskan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan itu yang turut disifatkannya sebagai “bermotifkan politik dan sangat cacat”.
“Jabatan Keadilan AS masih mengekalkan prosiding rampasan dalam kes ini dan sehingga kini masih belum membuktikan bahawa berlakunya penyelewengan,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan semalam.
“Justeru ia amat mengecewakan apabila mereka masih meneruskan tindakan melampaui batas ini - yang mana bersandarkan dakwaan tidak berasas daripada melihat sendiri kecacatan dalam dakwaan yang bermotifkan politik ini.”
Walaupun siasatan telah dilancarkan di beberapa negara berhubung penyelewengan 1MDB, Putrajaya sehingga kini masih bertegas bahawa tidak ada wang yang hilang atau dicuri daripada syarikat berkenaan.
Pihak berkuasa Malaysia mengakui ada “kelemahan” dalam pentadbiran 1MDB dan tidak mendakwa mana-mana pihak berhubung jenayah terbabit.
Singapura adalah satu-satunya negara yang telah memenjarakan atau mengharamkan pengurus bank dan mereka yang bekerja dengan sektor kewangan yang terkait dengan 1MDB.
Pada Selasa, Pengerusi 1MDB dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar berkata syarikat bermasalah itu akan ditutup selepas hutangnya habis dibayar. – 1 Mac, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan