Ahmad Zahid percaya Agong akan perkenan bubar Parlimen


Kalidevi Mogan Kumarappa

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi percaya Yang di-Pertuan Agong akan menerima cadangan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata kuasa itu turut tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 4 Oktober, 2022.

UMNO yakin cadangan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kepada Yang di-Pertuan Agong akan diterima dan diperkenankan baginda, kata presidennya.

Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau yakin Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menzahirkan persetujuan, mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Kuasa tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, saya yakin Agong beri perkenan ikut perkiraan terbaik.

“Kuasa itu tertakluk kepada perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kerana Tuanku Agong pastinya bertindak mengikut Perlembagaan Malaysia,” katanya pada sidang media di PWTC.

Pembubaran Parlimen merupakan fungsi eksekutif, dilaksanakan oleh Baginda atas nasihat perdana menteri. Ia termaktub dalam Perkara 40 dan 43 Perlembagaan.

Di bawah Perkara 40(1) dan (1A), jelas Yang di-Pertuan Agong pada lazimnya mesti bertindak atas nasihat Jemaah Menteri.

Berhubung sama ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu diadakan pada musim banjir, ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata Umno telah meneliti laporan ketua pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

“Kami telah meneliti laporan daripada Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia mendapati insya-Allah pilihan raya akan dibuat sebelum banjir,” kata Ahmad Zahid.

MetMalaysia telah memberi amaran negara akan menghadapi monsun timur laut pada bulan November.

Tahun lepas, monsun telah menyebabkan banjir teruk di 11 negeri.

Ahmad Zahid berkata beliau hormat pihak yang bantah PRU15 diadakan pada musim tengkujuh, namun yang akan pembuat keputusan muktamad adalah perdana menteri yang akan menasihati Agong.

Beliau juga menyeru agar parti politik menghormati pendirian Umno menggesa PRU15 diadakan segera.

Parti pembangkang, termasuk Perikatan Nasional yang berada dalam pentadbiran sekarang, semuanya menggesa agar PRU15 ditangguhkan ke tahun depan. – 4 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen