PELAKSANAAN dasar monetari oleh ekonomi-ekonomi maju berisiko mendorong dunia ke arah kemelesetan global dan menyebabkan ekonomi tidak berkembang untuk tempoh lama, yang seterusnya menjurus kepada keadaan yang lebih teruk daripada krisis kewangan 2008 dan kejutan Covid-19, kata Persidangan PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) pada Isnin, lapor Xinhua.
Kenaikan kadar faedah yang tinggi dan pengetatan fiskal dalam ekonomi-ekonomi maju, selain krisis akibat pandemik Covid-19 serta konflik Ukraine, telah menyebabkan kelembapan global semasa menjurus kepada kemerosotan dengan unjuran lemah nampaknya tidak akan berlaku, kata laporan UNCTAD bertajuk “Laporan Perdagangan dan Pembangunan 2022”.
Dengan kadar faedah lemah dalam tempoh sedekad, bank-bank pusat secara konsisten gagal mencapai sasaran inflasi selain gagal menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih sihat, kata laporan itu, sambil menambah keyakinan mereka bahawa langkah (menaikkan kadar faedah) yang mereka ambil itu mampu menurunkan harga tanpa mencetuskan kemelesetan adalah tindakan yang tidak berhemah.
Ketika gaji sebenar turun, pergolakan kewangan dan sokongan penyelarasan pelbagai hala yang tidak mencukupi, pengetatan monetari yang berlebihan boleh melanjutkan tempoh ketidakstabilan ekonomi, katanya.
UNCTAD menjangkakan ekonomi dunia berkembang 2.5 peratus pada 2022, dan pertumbuhan pada 2023 dijangka merosot kepada 2.2 peratus.
Kelembapan serentak melanda semua wilayah tetapi negara-negara membangun perlu lebih berwaspada kerana kadar pertumbuhan purata mereka diunjurkan menurun di bawah tiga peratus, kewangan awam dan swasta mereka akan terus dihimpit, selain menjejaskan prospek pekerjaan, kata laporan itu.
“Masih ada masa untuk mengelak kemelesetan,” kata Setiausaha Agung UNCTAD Rebeca Grynspan dipetik sebagai berkata. “Kami mempunyai cara untuk membendung inflasi dan menyokong semua kumpulan yang mudah terjejas. Namun tindakan semasa (dasar monetari negara maju) menjejaskan golongan yang paling mudah terjejas, terutama negara membangun. Keadaan ini juga boleh membawa kemelesetan global.” – Bernama, 4 Oktober, 2022.
Komen