BANK Dunia akan memperuntukkan pembiayaan berjumlah AS$400 juta agar Mesir dapat memajukan dan menyahkarbon sektor logistik dan pengangkutannya, lapor Xinhua.
Institusi Kewangan itu akan “menyokong peralihan ke arah pengangkutan rendah karbon di sepanjang” koridor kereta api Alexandria-the 6th of October-Greater Cairo Area (GCA) Mesir yang kebanyakannya menyediakan perkhidmatan kereta api penumpang, menurut Bank Dunia menerusi kenyataan media di laman sesawangnya pada Isnin.
Hampir 19% daripada pelepasan gas rumah hijau Mesir berpunca daripada sektor pengangkutan, menjadikan sektor itu sebagai penyumbang kedua selain sektor tenaga.
Satu projek yang dilancarkan di bawah perjanjian pembiayaan, yang digelar Projek Pembangunan Logistik Perdagangan Alexandria, akan menyaksikan pembinaan pintasan kereta api pengangkut ke GCA yang penuh sesak, menurut kenyataan itu.
Pintasan itu bertujuan menjalankan pengoperasian 15 kereta api kontena setiap hari menjelang 2030 antara Pelabuhan Laut Alexandria dan pelabuhan darat yang baharu dibina.
Kereta api pengangkut tambahan akan beroperasi antara pelabuhan Alexandria, Mesir Atas, dan Laut Merah.
Hal ini dijangka membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 965,000 tan dalam tempoh 30 tahun, kerana pengoperasian kereta api pengangkut memiliki jejak karbon yang lebih rendah berbanding menggunakan perkhidmatan pengangkutan jalan raya, menurut Bank Dunia.
Projek itu juga mensasarkan kemudahan perdagangan dan penyertaan pelabur swasta serta tenaga buruh wanita dalam sektor itu, “selaras dengan keutamaan pembangunan Mesir”, Kamel al-Wazir, menteri pengangkutan Mesir, dipetik sebagai berkata.
Portfolio kewangan antara Mesir dan pemberi pinjaman antarabangsa merangkumi 15 projek membabitkan penjagaan kesihatan, keselamatan sosial, keusahawanan dan pengangkutan, dan bernilai AS$5.7 bilion secara keseluruhan, menurut kementerian kerjasama antarabangsa Mesir dalam satu kenyataan pada Isnin. – Bernama, 4 Oktober, 2022.
Komen