PM di persimpangan dilema


LAGU Di Persimpangan Dilema oleh penyanyi Nora memberi pengertian yang amat mendalam kepada perdana menteri kita sekarang.

Beliau berada dalam keadaan dilema yang sama; di persimpangan yang tidak menentu, tertekan, buntu dan tidak pasti, mana jalan yang terbaik harus diambil dan dijalani.

Tersilap jalan, mungkin penghabisannya ketemu jalan mati.

Salah satu jalan di persimpangan itu ialah cadangan keras presiden partinya, Umno, menuju ke arah PRU15 yang mesti diadakan pada tahun ini juga.

Satu lagi jalan petunjuk dari Kabinet yang mengarah supaya Ismail teruskan menjadi PM sehingga penggalnya tamat pada Julai 2023.

Ini dua haluan yang amat berbeza dan menjadi konflik utama dalam politik parti yang mahu menguasai pentadbiran negara.

Pihak rakan kongsi dalam kerajaan sekarang, PAS, menggambarkan liku-liku, ranjau dan duri di sebalik laluan cadangan presiden Umno itu.

Laluan ini tidak akan memberi jalan mudah untuk Ismail menjawat semula jawatan PM selepas PRU15 kelak.

Tetapi laluan yang dicadangkan Kabinet juga tidak mudah dan lurus untuk beliau jalani, menjadikan dilemanya berterusan.

Laluan perangkap?

Jawatan perdana menteri yang dipegangnya sekarang diberi atas ehsan parti, terutamanya daripada presiden dan timbalannya.

Presiden tidak layak memegang jawatan PM, atas dasar dibebani kes rasuah di mahkamah, sementara timbalan presiden pula bukan ahli Parlimen, cuma Adun saja.

“Ismail direstui partinya untuk menduduki jawatan PM, (selepas Muhyiddin), buat sementara waktu atau sebagai ‘stop gap measure’ saja.

“Ini kerana beliau dianggap tidak berkaliber, tiada kualiti kepimpinan dan cuma di tangga 4 atau 5 sahaja dalam hierarki parti.

“Jadi pastinya dia mesti akur terhadap arahan parti, terhutang budi kepada parti dan mesti mengikut telunjuk parti.”

Tiga pandangan di atas terdengar jelas dalam kalangan penyokong-penyokong kuat presiden parti.

Anehnya, parti Umno dan BN cuma ada 39 kerusi saja di Parlimen. Dan, bukan semua penyandang kerusi tersebut menyokong presiden parti.

Sebanyak 76 kerusi lagi yang menyokong Ismail di Parlimen (jumlah sekitar 115 kerusi) adalah dari parti sekutu yang lain.

PM tentunya mesti mengambil kira pandangan 76 kerusi yang menyokong beliau di Parlimen ini yang terdiri daripada Bersatu, PAS, GPS Sarawak, GRS Sabah serta beberapa ahli lompat parti.

Mereka semua mungkin tidak bersetuju dengan jalan cadangan presiden Umno tersebut.

Kepentingan awam

Kuasa menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen terletak di tangan PM, dan bukan di tangan presiden parti.

Ada beberapa sebab utama yang membolehkan PM menasihati Agong untuk mengambil jalan membubarkan Parlimen.

Selain tamat tempoh lima tahun, kepentingan awam adalah menjadi sebab utama.

Jadi, sebagai PM, beliau mesti menilai apakah pembubaran yang belum cukup tempoh ini untuk kepentingan awam dan bukan untuk kepentingan peribadi.

Beliau bertanggungjawab kepada semua rakyat, bukan sekadar ahli parti sahaja.

Rakyat yang sudah lama tertekan dan baru saja boleh bernafas kembali (selepas dua tahun mengalami Covid-19 dan hukuman perintah kawalan pergerakan yang berkaitan) sekarang dilanda ekonomi yang merudum.

Kenaikan harga barang dan makanan, yang menjadikan kos sara hidup semakin meningkat tidak lagi dapat dikawal kerajaan.

Peluang pekerjaan berkurangan dan punca pendapatan tidak terjamin adalah satu lagi faktor negatif yang tidak dapat ditangani kerajaan sekarang.

Kadar pengangguran tinggi serta nilai mata wang amat rendah dalam sejarah, menyulitkan lagi pengurusan kerajaan yang memerintah. Barangan impot juga menjadi lebih mahal.

Semua ini adalah faktor kepentingan awam yang mesti diambil kira.

Persoalannya, apakah dengan mengadakan PRU15 dalam masa terdekat ini boleh menyelesaikan segala masalah negara?

Termasuk juga membawa ekonomi negara ke landasan atau jalan yang lebih baik dan menaikkan semula nilai mata wang ringgit?

Jawapannya, tentunya tidak.

PRU15 yang mahu disegerakan bukan untuk kepentingan awam. Naratifnya lebih memihak kepada kepentingan peribadi.

Jadi, daripada segi kepentingan awamnya, PRU15 tidak harus diadakan dalam keadaan segera.

Semua kegagalan untuk menangani faktor kepentingan awam ini, dilihat berpunca daripada mainan politik Umno yang menjadi tonggak pemerintah.

Terlalu banyak berpolitik dan cubaan untuk menyelamat orang tertentu menjadikan naratif Umno condong kepada kepentingan peribadi.

Faktor ini amat berlawanan dengan kepentingan awam untuk Agong menilai dan menerima nasihat dari PM.

Banjir

Satu lagi faktor kepentingan awam yang mesti diambil kira ialah bencana alam.

Tiga bulan terakhir ini akan melihat satu lagi bencana alam yang akan menyusahkan lagi rakyat desa mahupun di kota – masalah banjir.

Faktor ini akan menjadi beban kepada PM dan amat negatif terhadap negara.

Persepsi yang akan terjadi ialah parti dan presidennya dianggap tidak lagi prihatin terhadap masalah dan kesusahan rakyat.

Faktor ini akan diambil kira dan menjadi amat penting oleh pihak istana.

Mana mungkin rakyat yang sedang menderita, tertekan dengan bencana alam dan ekonomi, akan keluar mengundi untuk kepentingan peribadi dan bukan untuk kepentingan awam.

Seorang PM yang bertanggungjawab tidak akan mengambil jalan mudah untuk menasihati Agong tanpa mengatur segala kepentingan awam terlebih dahulu.

Seperti yang kita semua tahu, Agong amat mengambil berat tentang kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Tidak mungkin Agong membenarkan sebarang pembubaran Parlimen sebelum tempohnya tamat, kecuali kepentingan awam negara amatlah terancam dan dalam keadaan yang membahayakan.

Kepentingan itu bukanlah sekadar sebuah dilema di persimpangan politik. – 4 Oktober, 2022.

* Rosli Khan adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen