PEMIMPIN akar umbi Umno dari semua bahagian di seluruh negara hadir ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) untuk satu perjumpaan tertutup dengan presiden parti Ahmad Zahdi Hamidi dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kata setiausaha agungnya Ahmad Maslan.
Perjumpaan ini yang dipanggil melalui satu notis yang dikeluarkan Jumaat lepas dipercayai ada kaitan dengan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno minggu lalu yang antara lain membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15.
Ahmad berkata pertemuan akan dimulakan dengan ucapan perdana menteri yang juga naib presiden Umno diikuti ucapan Ahmad Zahid.
“Kami akan bincangkan perkara baik-baik sahaja. Saya sendiri akan tahu mengenai apa yang akan disampaikan selepas ucapan diberikan oleh kedua-dua pemimpin.
“Yang pasti, akan ada sidang media selepas mesyuarat nanti,” katanya kepada wartawan.
Ahmad bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada pertemuan akan membincangkan tarikh pembubaran Parlimen dan PRU15.
Minggu lalu, MKT Umno memutuskan PRU15 diadakan tahun ini juga, sementara beberapa pemimpin Umno dipetik berkata perdana menteri juga bersetuju dengan ketetapan itu.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainuddin bagaimanapun berkata Ismail Sabri perlu mendapatkan pandangan Jemaah Menteri mengenai tarikh pembubaran Parlimen.
Beliau yang juga menteri kabinet mengingatkan kerajaan hari ini dibentuk oleh banyak parti dan bukan hanya kerajaan BN.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga hari ini mengeluarkan kenyataan berasingan berpendirian PRU15 tidak wajar diadakan sekarang ketika negara berhadapan ancaman banjir.
PH dan parti komponennya yang mula giat mengadakan siri ceramah jelajah juga lantang mengkritik cadangan PRU15 diadakan pada tahun ini. – 4 Oktober, 2022.
Komen