Integriti berpolitik di universiti: Yang boleh dan tidak boleh


SEMPENA Hari Akademia Negara esok, marilah kita menasihati sesama sendiri berkenaan dengan ruang lingkup kerja sebagai tenaga pengajar universiti di Malaysia memandangkan ramai yang seolah-olahnya masih tidak faham dengan undang-undang berkenaan tenaga pengajar di universiti awam.

Merujuk Peraturan 20 dalam Peraturan-Peraturan Disiplin Badan-Badan Berkanun (di bawah Akta Badan-Badan Berkanun (Disiplin dan Surcaj) 2000), pensyarah dan lain-lain kakitangan gred profesional di universiti awam tidak boleh bergiat aktif di dalam aktiviti politik. 

Sebagai contoh, mereka tidak boleh bertanding untuk menjadi Naib Ketua Pemuda Umno Selayang, tidak boleh memegang jawatan sebagai AJK Biro Pendidikan Umno, tidak boleh bertanding dalam pemilihan ahli Majlis Tertinggi Umno.

Mereka tidak boleh bergiat berceramah politik. Mereka juga tidak dibenarkan berkempen untuk mana-mana parti politik.

Sebagai contoh, seorang naib canselor tidak boleh berceramah “kita mesti memenangkan kerajaan yang ada sekarang agar universiti dan tempat ibadat kita tidak hilang”. Naib canselor juga tidak boleh berceramah “kita perlu berterima kasih kepada Umno kerana tanpa Umno universiti kita tidak akan wujud”. 

Mereka juga tidak boleh berceramah “pensyarah yang tidak menyokong Umno, anda tidak layak mengajar di universiti ini”.

Mereka juga tidak boleh membuat petisyen bagi menyokong kepimpinan perdana menteri di Malaysia. Ini sepatutnya suatu perkara yang asas kerana kepimpinan perdana menteri bergantung pada sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat – dan bukan sokongan majoriti pensyarah di universiti.

Bagaimanapun, Peraturan 20 ini membenarkan pensyarah menjadi ahli biasa mana-mana parti politik yang sah. Maka tidak menjadi suatu pelanggaran undang-undang jika mana-mana pensyarah memohon menjadi ahli biasa di dalam mana-mana parti politik di Malaysia. 

Tidak perlulah pensyarah menyibukkan diri untuk menyelidik jika mana-mana rakan mereka menjadi ahli parti politik DAP atau PAS atau Umno, atau yang lain-lain. 

Pensyarah tidak boleh menggunakan pelajar sebagai alat berpolitik dalam membantu kempen mana-mana parti politik. Contohnya, pelajar tidak boleh dihantar beramai-ramai menyertai demonstrasi “Saifuddin letak jawatan!” sekiranya ada pensyarah yang tidak berkenan dengan Saifuddin Abdullah.

Pelajar juga tidak boleh dihantar beramai-ramai untuk memenuhkan program Umno di mana-mana sahaja demi untuk memuaskan hati pemimpin Umno. 

Pelajar universiti pula bebas untuk turut serta dalam aktiviti politik di luar universiti. Mereka boleh hadir ke mana-mana sesi ceramah yang dianjurkan mana-mana parti politik. Pelajar universiti juga sepatutnya bebas menemuramah tokoh dari mana-mana parti politik. 

Maka jika pelajar sains politik membuat lawatan ke Pejabat DAP untuk menemuramah Lim Kit Siang, ia dibenarkan malah sepatutnya dialu-alukan kerana mereka gigih ingin mendapatkan primary data bagi penyelidikan mereka.

Sekiranya ada pensyarah yang cuba menjadikan lawatan pelajar ini ke pejabat DAP sebagai satu isu dengan menuduh pensyarah lain sebagai “dalang” dan “agen DAP” dan pada masa sama pensyarah ini pejam sebelah mata kepada penglibatan aktif rakan mereka di dalam aktiviti Umno, maka laporan polis bolehlah dibuat terhadap pensyarah yang menuduh ini. 

Seterusnya pensyarah tidak perlu menyibukkan diri dengan risau memikirkan parti politik apa yang akan disokong pelajar dan bekas pelajar universiti tersebut. Sebagai pengundi di Malaysia, mereka bebas menyokong mana-mana parti politik.

Tidak wujud langsung mana-mana undang-undang yang mewajibkan pelajar dan bekas pelajar menyokong parti DAP atau PAS atau Umno atau Amanah atau PBM. 

Pihak universiti juga tidak boleh berkompromi dengan mana-mana parti politik menggunakan premis universiti sebagai tempat untuk berkempen dalam pilihan raya.

Sepatutnya sebagai institusi pendidikan tinggi yang dibiayai pembayar cukai Malaysia, lebih molek sekiranya universiti mengadakan forum disertai tokoh parti politik berlainan pendapat bagi menyemarakkan lagi suasana kesarjanaan dan keilmuan di universiti untuk masyarakat umum.  

Maka, daripada menghantar pelajar ke aktiviti Umno selama tiga hari di mana-mana hotel atau homestay, lebih afdhal pihak universiti menjemput sahaja mana-mana tokoh Umno beserta mana-mana tokoh politik dari pihak lawan untuk berforum di universiti. 

Bilik mesyuarat di bahagian hal ehwal pelajar juga tidak boleh dijadikan ruang stor untuk menyimpan bendera dan peralatan kempen untuk Umno dan Barisan Nasional.

Universiti awam yang dibiayai pembayar cukai perlu bersifat neutral dan tidak sewenang-wenangnya menyebelahi mana-mana parti politik. Sebagai contoh, naib canselor tidak boleh menggunakan alasan “Saya perlu patuh kepada arahan Umno” dalam menguruskan dan mentadbir universiti. 

Pensyarah juga tidak boleh diminta membuat akujanji untuk tidak melawan Umno. 

Anak tokoh politik Umno yang dihantar belajar di universiti tersebut juga tidak boleh diberi keistimewaan seperti penggunaan pelekat kenderaan staf universiti.

Semua perkara di atas merupakan asas dalam suasana kesarjanaan sesebuah universiti.

Disebabkan universiti kini gigih ingin menaikkan taraf atau “ranking” di dalam senarai antarabangsa, adalah afdhal perkara ini juga diambil kira. 

Selamat Hari Akademia Negara. Semoga integriti terus menjadi keutamaan tenaga pengajar di Malaysia. – 4 Oktober, 2022.

* Mohammad Abdullah adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen