PELANCARAN peluru berpandu balistik Korea Utara pada pagi Selasa tidak menimbulkan ancaman kepada angkatan tentera Amerika Syarikat (AS) di rantau itu, kata Komando Indo-Pasifik AS dalam satu kenyataan media.
Media melaporkan Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak sederhana ke arah Laut Jepun.
Peluru berpandu itu dilaporkan terbang melepasi wilayah Jepun dan jatuh di Lautan Pasifik di luar zon ekonomi eksklusif negara itu, lapor Sputnik.
“Kami menyedari pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara hari ini, termasuk ia terbang melepasi Jepun,” menurut kenyataan itu.
“Setelah penilaian dibuat, pelancaran peluru berpandu itu tidak menimbulkan ancaman kepada kakitangan AS, atau wilayah, atau kepada sekutu kami, tetapi kami akan terus memantau keadaan.”
AS sedang berunding dengan Jepun, Korea Selatan, termasuk rakan dan sekutunya yang lain untuk menangani situasi itu.
AS turut mengecam tindakan ini dan menyeru Korea Utara menghentikan sebarang provokasi seterusnya, manakala komitmen AS terhadap pertahanan Jepun dan Korea Selatan kekal kukuh, menurut kenyataan itu.
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Hirokazu Matsuno berkata peluru berpandu yang dilancarkan oleh Korea Utara itu meliputi jarak kira-kira 4,600km dengan ketinggian pelancaran sekitar 1,000km. – Bernama, 4 Oktober, 2022.
Komen