Sekurang-kurangnya 32 kanak-kanak maut dalam rempuhan stadium di Indonesia, kata seorang pegawai hari ini ketika polis bertindak untuk menghukum mereka yang bertanggungjawab dalam salah satu insiden paling maut dalam sejarah bola sepak.
Tragedi pada malam Sabtu di bandar Malang menyaksikan seramai 125 orang terbunuh dan 323 yang lain cedera selepas pegawai melepaskan gas pemedih mata di dalam stadium yang penuh sesak untuk mengelak pencerobohan padang yang mencetuskan rempuhan.
Berpuluh-puluh kanak-kanak yang terperangkap dalam insiden itu maut, kata Pegawai Kementerian Pemerkasaan Wanita dan Kanak-kanak Indonesia kanak-kanak kepada AFP.
“Daripada data terkini yang kami terima daripada 125 orang yang maut dalam kemalangan itu 32 daripadanya adalah kanak-kanak dengan yang paling muda berumur tiga atau empat tahun,” kata Nahar.
Ketika kemarahan memuncak terhadap polis, ketua menteri keselamatan Indonesia Mahfud MD mengumumkan pasukan petugas dibentuk untuk menyiasat dan menggesa hukuman bagi sesiapa yang didapati bertanggungjawab.
“Kami meminta (polis) mendedahkan siapa yang melakukan jenayah itu dan mengambil tindakan terhadap mereka dan kami juga berharap polis negara akan menilai prosedur keselamatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu Ketua Polis Negara memecat Ketua Polis Malang selang beberapa jam selepas ucapan Mahfud.
Polis Jawa Timur juga menggantung sembilan pegawai atas arahan pasukan polis negara, kata jurucakap polis negara Dedi Prasetyo pada sidang akhbar tanpa memberikan butiran mengenai peranan mereka dalam tragedi itu.
Ketika polis dan pegawai sukan dalam perjalanan ke Malang untuk menyiasat, Suruhanjaya Nasional Hak Asasi Manusia Indonesia (Komnas HAM) melemparkan kritikan kepada pegawai.
“Jika tiada gas pemedih mata, mungkin tidak akan berlaku huru-hara,” kata pesuruhjaya Choirul Anam pada taklimat. – AFP, 4 Oktober, 2022.
Komen