Pihak sokong aneksasi Russia di Ukraine bakal berdepan tindakan, kata AS


Penasihat Keselamatan Negara AS Jake Sullivan menegaskan semula sokongan AS terhadap Kyiv. – Gambar EPA, 4 Oktober, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) memberitahu Ukraine pihak yang menyokong percubaan Russia untuk menggabungkan empat wilayah di timur dan selatan Ukraine berkemungkinan akan “menanggung akibat buruk”.

Penasihat Keselamatan Negara AS Jake Sullivan menegaskan semula sokongan AS terhadap Kyiv semasa bertemu dengan Ketua Pejabat Presiden Ukraine Andriy Yermak di Istanbul pada Ahad, lapor United Press International (UPI) memetik kenyataan White House.

Sullivan berkata pencabulan undang-undang antarabangsa secara terang-terangan oleh Russia termasuk terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tidak akan menghalang AS, sekutunya serta rakan kongsi mengenakan tindakan ke atas mana-mana individu, entiti atau negara yang memberikan sokongan kepada pengilhakan Russia, menurut kenyataan itu.

Pertemuan itu diadakan dua hari selepas Presiden Russia Vladimir Putin mengisytiharkan pengilhakan Donetsk, Lugansk, Zaporozhye dan Kherson setelah melakukan pungutan suara yang dikecam secara meluas sebagai “palsu”.

Sullivan dan Yermak turut membincangkan situasi di Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia Ukraine selepas penahanan pengarah loji Ihor Murashov oleh pihak Russia serta menghalang rancangan Ukraine dengan PBB untuk mengeksport makanan.

“Sullivan menekankan AS komited untuk menyokong rakyat Ukraine yang sedang mempertahankan kedaulatan dan demokrasi mereka,” memetik White House.

Sejak Putin mengumumkan percubaannya menggabungkan empat wilayah, beberapa negara demokrasi telah bertindak balas dengan mengenakan sekatan, termasuk AS, Kanada, Australia dan Britain.

Sebagai respons ke atas tindakan Russia, Ukraine juga mengumumkan memohon untuk menyertai Nato.

Putin menyalahkan perluasan pakatan pertahanan membawa kepada serangannya ke atas Ukraine. – Bernama, 4 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen