KETIKA negara di seluruh dunia bekerja keras untuk menangani inflasi dan kos sara hidup yang semakin meningkat, dengan sebahagian besarnya menaikkan kadar faedah, seorang ahli ekonomi yang berpangkalan di AS menggesa negara menetapkan dasar monetari mengikut cabaran khusus yang mereka hadapi.
“Setiap negara mempunyai cabaran berbeza. Setiap negara perlu belajar daripada kejayaan dan kesilapannya,” kata pengerusi ekonomi di University of Southern California, Joshua Aizenman, kepada Agensi Anadolu di Istanbul, pada satu acara mengenai transformasi ekonomi yang sedang dihadapi dunia.
Tiada mantra untuk mengurangkan atau meningkatkan kadar faedah, kata Aizenman pada Sidang Kemuncak Transformasi Ekonomi dan Paradigma Baharu, sambil menambah sebab itulah kadar (faedah) tidak ditentukan komputer.
Walaupun pendirian bank pusat yang memihak kepada kenaikan kadar secara agresif, dan banyak negara mula melaksanakannya sejak akhir tahun lepas, beberapa negara masih teragak-agak untuk menyesuaikan kadar, katanya.
Tahun ini, beberapa bank pusat telah menaikkan kadar, terutama Rizab Persekutuan AS (FED), Bank of England, dan Bank Pusat Eropah, manakala beberapa negara, termasuk Rusia, China dan Türkiye, memutuskan untuk mengurangkan kadar faedah.
Sementara itu, Bank of Japan dan beberapa bank pusat lain, mengekalkan kadar sedia ada.
FED meningkatkan kadarnya secara beransur-ansur daripada 0.25% kepada 3.25% sejak mesyuarat Mac, manakala Bank of England menaikkan kadar daripada 0.1% kepada 2.25% sejak November lalu.
Bank Pusat Eropah, yang kadar dasarnya pada 0%, menaikkan kadar itu kepada 0.5% pada Julai, dan kepada 1.25% pada September.
Bank of Japan pula mengekalkan kadar dasarnya pada -0.1% untuk tempoh yang lama.
Rusia, yang kadar dasarnya pada 8.5% Disember lalu, menaikkannya kepada 20% pada Februari, namun menurunkannya secara beransur-ansur kepada 7.5% sejak April.
China, dengan kadarnya berada pada 3.85% tahun lepas, menurunkannya kepada 3.7% pada Januari dan kepada 3.65% pada Ogos.
Walaupun Türkiye memulakan 2022 dengan kadar dasar 14%, bank pusat negara itu menurunkannya kepada 13% pada Ogos dan 12% pada September.
Menurut Agensi Anadolu, Aizenman menekankan dasar sesebuah negara tidak boleh ditiru di negara lain, kerana ia perlu mengikut situasi tempatan dengan memberi keutamaan kepada bentuk cabaran yang dihadapi.
“Saya mencadangkan setiap negara melabur dalam institusi terbaik sebagai keutamaan mereka.”
Beliau berkata dasar monetari harus disepadukan dengan dasar fiskal, sambil menambah terdapat interaksi rapat antara dasar fiskal dan dasar lain, seperti peraturan berhemah secara makro dan dasar kewangan.
Dulu, tumpuan utama adalah pada bank pusat, namun ia telah berakhir, dan semua institusi harus disepadukan untuk mencari penyelesaian secara bersama, kata Aizenman.
Beliau berkata bank pusat boleh mengatasi masalah, tetapi bukan dalam sekelip mata, dan bank pusat dan perbendaharaan wajar melabur dalam institusi yang lebih defensif.
Kesukaran akan berterusan selama beberapa tahun, namun ada cara untuk mengurangkannya dan menjadikan krisis lebih mudah dan kurang tragis, katanya.
AS, China dan EU wajar menerajui pelonggaran dengan memberi tumpuan kepada ekonomi global baharu yang berani, dengan semua, terutama pasaran baru muncul, katanya.
Negara yang mempunyai keupayaan untuk membantu, wajar menyokong penyelesaian bersama itu, katanya. – Bernama, 4 Oktober, 2022.
Komen