Kelas digantung selepas pertempuran di universiti Iran 


KELAS terpaksa digantung dan ditukar secara maya pada Isnin di universiti teknologi terkemuka Iran di Tehran selepas pertempuran meletus semalaman antara pelajar dan pasukan keselamatan, kata media tempatan.

“Universiti Teknologi Sharif mengumumkan disebabkan kejadian baru-baru ini dan keperluan untuk melindungi pelajar ... semua kelas akan diadakan secara maya mulai Isnin,” lapor agensi berita Mehr, ketika berlaku bantahan di seluruh negara atas kematian seorang wanita bangsa Kurdish, Mahsa Amini dalam tahanan.

Kira-kira 200 pelajar berkumpul sejak petang Ahad di universiti dan melaungkan slogan menentang pihak berkuasa Iran, kata Mehr.

“Wanita, hidup, kebebasan,” jerit mereka, serta “pelajar lebih suka kematian daripada penghinaan”, kata agensi berita itu.

Pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan paintball ke arah pelajar, kata Mehr, sambil menambah  pasukan keselamatan membawa senjata yang digunakan untuk menembak pelet keluli tidak merbahaya, di luar pintu utara universiti.

Menteri sains kemudiannya tiba di kampus untuk bercakap dengan pelajar dalam usaha untuk menenangkan keadaan, tambah laporan itu.

Demonstrasi masuk minggu ketiga sejak Amini yang berusia 22 tahun meninggal dunia berikutan penahanannya oleh polis moral kerana didakwa peraturan memakai tudung dan berpakaian menutup aurat. 

Puluhan penunjuk perasaan terbunuh dan lebih 1,000 ditangkap semasa gelombang protes. Anggota pasukan keselamatan juga turut terkorban dalam pergolakan itu. – AFP, 3 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen