Pusingan kedua pilihan raya Presiden Brazil 30 Oktober ini


Jair Bolsonaro dan Luiz Inacio Lula da Silva akan bersaing antara satu sama lain dalam pusingan kedua Pilihanraya Presiden Brazil yang dijadual berlangsung pada 30 Oktober. – Gambar EPA, 3 Oktober, 2022.

DUA calon presiden Brazil bakal berdepan pusingan kedua pada penghujung bulan ini selepas kedua-duanya gagal memperoleh undi yang mencukupi untuk memenangi pemilihan presiden. 

Luiz Inacio Lula da Silva dan Jair Bolsonaro akan bersaing antara satu sama lain dalam pusingan kedua yang dijadual berlangsung pada 30 Oktober, lapor Agensi Anadolu.

Sebuah mahkamah pilihan raya mengumumkan selepas 97.51 peratus undian selesai dikira pemilihan presiden pusingan kedua terpaksa diadakan.

Lula menerima undian sebanyak 47.94 peratus manakala Bolsonaro memperoleh 43.62 peratus.

Simone Tebet, calon Democratic Movement menduduki tempat ketiga dengan 4.21 peratus manakala Ciro Gomes di tempat keempat dengan 3.05 peratus.

Memandangkan tiada calon berjaya memperoleh lebih 50 peratus undi, pilihan raya pusingan kedua dijangka menentukan presiden baharu Brazil untuk penggal 2023-2027, menurut laporan itu.

Brazil dengan populasi melebihi 215 juta mempunyai lebih 156 juta pengundi berdaftar manakala lebih daripada 120 juta rakyatnya keluar mengundi. – Bernama, 3 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen