KOREA Selatan dijangkakan mencatat defisit perdagangan yang mencecah paras tertinggi kepada hampir AS$50 bilion tahun ini susulan peningkatan kos tenaga global, lapor Yonhap memetik sebuah badan pemikir swasta semalam.
Defisit perdagangan negara mungkin mencecah sekitar AS$48 bilion tahun ini kekurangan terbesar sejak data perdagangan yang berkaitan dikumpul pada 1964, menurut laporan Institut Penyelidikan Ekonomi Korea (KERI).
Anggaran defisit itu lebih daripada dua kali ganda defisit perdagangan AS$20.6 bilion yang dicatatkan pada 1996 sejurus sebelum negara dilanda krisis kewangan Asia 1997-98.
Korea Selatan mencatat defisit perdagangan bagi bulan keenam berturut-turut pada September apabila pertumbuhan eksport menyusut, di tengah-tengah kelembapan global dan perbelanjaan import meningkat disebabkan peningkatan kos bahan api. Negara itu mencatat defisit perdagangan sebanyak AS$3.77 bilion bulan lepas.
KERI cabang penyelidikan konglomerat Persekutuan Industri Korea menganggarkan defisit perdagangan negara itu akan mencecah AS$37.5 bilion pada separuh kedua dan terus meningkat kepada AS$48 bilion untuk tempoh sepanjang tahun.
Penyusutan mendadak mata wang tempatan berbanding dolar US turut mendorong kenaikan harga import.
Won merosot sekitar 17% berbanding dolar AS setakat tahun ini di tengah-tengah langkah pengetatan monetari agresif oleh Rizab Persekutuan.
Mata wang won yang lebih lemah lazimnya menjadikan eksport negara lebih murah, meningkatkan daya saing harganya.
Namun penyusutan nilai won baru-baru ini berlaku serentak dengan penurunan mendadak mata wang utama pesaingnya, kecuali dolar yang terus kukuh. – Bernama, 3 Oktober, 2022.
Komen