SURUHANJAYA Pilihan Raya Bulgaria memaklumkan parti pembangkang, Citizens for European Development of Bulgaria (GERB) di bawah pimpinan bekas perdana menteri Boyko Borisov, kini mendahului keputusan pilihan raya.
Selepas lebih 99 peratus kertas undi dikira, gabungan GERB dan Union of Democratic Forces memperoleh 25.43 peratus undi, manakala parti Continue the Change (PP), yang diketuai bekas perdana menteri Kiril Petkov, mendapat 20.21 peratus undi, lapor Sputnik.
Pada Jun, parlimen Bulgaria meluluskan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan campuran dan Kabinet yang diketuai Perdana Menteri Petkov hingga memaksa beliau meletakkan jawatan.
Percubaan untuk membentuk kerajaan baharu selepas itu gagal.
Bulgaria telah mengadakan tiga pilihan raya parlimen tahun lalu, kerana tiada parti yang memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan.
Pada November 2021, ahli parlimen sepakat untuk membentuk gabungan terdiri empat parti utama iaitu PP, Parti Sosialis Bulgaria, There Is Such a People (ITN), dan Demokratik Bulgaria, sekali gus menamatkan krisis pembentukan kerajaan selama sebulan.
Pilihan raya itu menyaksikan peratusan keluar mengundi paling rendah pernah dicatatkan iaitu kurang 40 peratus. – Bernama, 3 Oktober, 2022.
Komen