Tentera Israel tembak mati 2 rakyat Palestin


Sejak Mac, Israel telah melancarkan beratus-ratus operasi di Tebing Barat untuk menangkap militan, yang sering tertumpu di Jenin dan Nablus. – Gambar EPA, 3 Oktober, 2022.

DUA rakyat Palestin ditembak mati oleh tentera Israel semasa operasi berhampiran Ramallah di Tebing Barat yang diduduki pada Isnin, kata Kementerian Kesihatan Palestin.

Kementerian dimaklumkan mengenai “kematian dua rakyat, selepas pendudukan melepaskan tembakan terhadap mereka, berhampiran kem pelarian Jalazun,” katanya dalam satu kenyataan. Butiran mengenai identiti mereka masih belum diberikan.

Sementara itu, tentera Israel berkata ia telah “meneutralkan” dua “suspek” selepas mereka “cuba melakukan serangan merempuh tentera Israel”.

Ia berlaku sehari selepas beberapa warga Israel, termasuk seorang askar, cedera dalam beberapa insiden keselamatan di seluruh Tebing Barat, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan.

Tentera juga berkata ia telah menahan 16 orang semasa serbuan di seluruh Tebing Barat.

Pada Rabu, empat rakyat Palestin terbunuh di bandar utara Jenin berikutan serbuan di mana Israel mandakwa ia menyasarkan “dua suspek yang terlibat dalam beberapa serangan tembakan baru-baru ini”.

Sejak Mac, Israel telah melancarkan beratus-ratus operasi di Tebing Barat untuk menangkap militan, yang sering tertumpu di Jenin dan Nablus.

Serbuan itu telah mencetuskan pertempuran yang membunuh berpuluh-puluh rakyat Palestin, termasuk pejuang.

Israel telah menduduki Tebing Barat sejak Perang Enam Hari 1967 tetapi sebahagian daripada wilayah itu dikawal secara nominal oleh Pihak Berkuasa Palestin, mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dalam Perjanjian Keamanan Oslo 1993. – AFP, 3 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen