AS ikrar bantu Taiwan jika China ceroboh


Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin berkata negaranya akan membantu Taiwan mempertahankan diri dari pencerobohan China, malah tentera AS sentiasa bersedia bantu sekutunya kekalkan kebebasan dan keterbukaan Indo-Pasifik. – Gambar EPA, 3 Oktober, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) akan membantu Taiwan “membangunkan keupayaan untuk mempertahankan diri” daripada pencerobohan China, kata Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin pada Ahad.

“Kami komited untuk membantu Taiwan membangunkan keupayaan mempertahankan diri,” kata Austin dalam wawancara dengan CNN.

Washington secara sejarahnya mengekalkan dasar “kekaburan strategik” sama ada ia akan campur tangan secara ketenteraan jika Taiwan diserang oleh China.

Ditanya ketika wawancara dengan CBS bulan lepas sama ada tentera AS akan mempertahankan Taiwan, Presiden AS Joe Biden berkata “ya,” jika ia “serangan yang belum pernah terjadi sebelumnya.”

Austin ditanya oleh hos CNN, Fareed Zakaria sama ada AS sedang bersedia untuk mengerahkan tenteranya ke Taiwan selaras dengan komen Biden, namun beliau enggan menjawab.

“Tentera AS sentiasa bersedia untuk melindungi kepentingan kami dan memenuhi komitmen kami. Saya rasa presiden jelas dalam memberikan jawapannya ketika menjawab soalan,” kata Austin.

“Tetapi, sekali lagi, kami terus berusaha untuk memastikan kami mempunyai keupayaan yang betul di tempat yang betul bagi memastikan kami dapat membantu sekutu kami mengekalkan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka,” katanya.

“Kekaburan strategik” Washington direka untuk menangkis pencerobohan China dan untuk menghalang Taiwan daripada memprovokasi Beijing dengan mengisytiharkan kemerdekaan secara rasmi. – AFP, 3 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen