Pelari Kenya, Ethiopia juarai Marathon London 2022


Pelari Kenya Amos Kipruto dan atlet Ethiopia Yalemzerf Yehualaw memenangi Marathon London 2022 semalam. – Gambar EPA, 3 Oktober, 2022.

PELARI Kenya Amos Kipruto dan atlet Ethiopia Yalemzerf Yehualaw memenangi Marathon London 2022 semalam.

Kipruto muncul juara bagi kategori lelaki selepas menamatkan larian sejauh 42.1 kilometer (km) dalam masa dua jam, empat minit dan 39 saat, lapor Agensi Anadolu.

Leul Gebresilase dari Ethiopia ketinggalan 33 saat di belakang untuk menduduki tempat kedua, manakala atlet Belgium Bashir Abdi di kedudukan ketiga.

Sementara itu, Yehualaw memenangi kategori wanita dengan catatan masa dua jam, 17 minit dan 26 saat. Pemenang pingat emas Marathon London 2021 Joyciline Jepkosgei dari Kenya menamatkan larian di tempat kedua dengan catatan masa dua jam, 18 minit dan tujuh saat.

Atlet Ethiopia, Alemu Megertu di tempat ketiga.

Sejak 2006, perlumbaan London adalah antara enam maraton utama selain Tokyo, Boston, Berlin, Chicago dan New York.

Perlumbaan seterusnya akan diadakan di Chicago pada 9 Oktober. – Bernama, 3 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen