Parlimen tidak ada kuasa halang Najib hadir, kata Speaker


Ravin Palanisamy

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata beliau tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan atau tidak membenarkan mana-mana ahli Parlimen memasuki Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2022.

PARLIMEN tidak mempunyai kuasa untuk menghalang ahli Parlimen Pekan Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara daripada menghadiri Dewan Rakyat, kata speaker Azhar Azizan Harun hari ini.

Azhar berkata beliau tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan atau tidak membenarkan mana-mana ahli Parlimen daripada memasuki Dewan Rakyat.

Dalam situasi Najib, Azhar berkata Jabatan Penjara mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada mereka akan membenarkan bekas perdana menteri itu menghadiri sidang Parlimen.

“Mengenai kehadiran Pekan, ia bukan dalam kuasa saya sama sekali. Saya tidak ada kuasa untuk (memutuskan) membenarkan dia datang atau tidak,” speaker menjawab cadangan Hanipa Maidin (Sepang-PH) yang berkata Najib perlu dibenarkan menghadiri sidang Parlimen dengan tangan bergari. 

“Kalau dia hadir, dia tak perlu minta izin saya masuk (Dewan Rakyat) tapi persoalannya sekarang dia boleh hadir?

“Itu bukan di bawah bidang kuasa saya kerana dia bukan dalam jagaan saya. Siapa yang mempunyai hak penjagaannya? Penjara (Jabatan) mempunyai hak penjagaan ke atasnya.

“Jadi terpulang kepada penjara untuk membebaskannya daripada tahanan. Itu bukan kuasa saya,” tambah Azhar.

Azhar berkata mengikut pemahamannya sekiranya pihak penjara membebaskannya daripada tahanan untuk menghadiri persidangan Parlimen mereka juga akan memberi atau menetapkan syarat pembebasan itu. – 3 Oktober, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen