HAITI mengesan kes baharu taun dalam tempoh lebih tiga tahun selepas wabak itu menyebabkan kematian 10,000 penduduk di negara Caribbean itu.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata kes disahkan dikesan di Port-Au-Prince, manakala terdapat beberapa kes disyaki di Cite Soleil.
Kementerian menambah pelbagai langkah sedang diambil untuk mengehadkan penyebaran virus, termasuk siasatan ke atas kes berpotensi dan pada masa sama menyeru rakyat untuk mengamalkan langkah penjagaan kebersihan lebih tinggi.
Taun bermula daripada pekerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas gempa bumi Haiti 2010, di mana wabak itu meragut nyawa kira-kira 10,000 orang.
Jangkitan pertama virus dikesan di sekitar Sungai Artibonite, di mana pasukan pengaman PBB membuang najis, sebelum merebak ke seluruh negara.
Pada Ogos 2016, PBB secara rasmi mengakui peranannya dalam permulaan wabak itu.
Kes positif terakhir yang dikesan adalah pada 2019 dan pada Februari 2022 Kementerian Kesihatan Awam mengadakan upacara menandakan penghapusan taun secara rasmi di negara itu.
Perdana Menteri Ariel Henry yang berkhidmat sebagai pemangku ketua negara sejak pembunuhan presidennya pada Julai 2021, berkata pada majlis itu: “Tarikh 4 Februari contoh komitmen politik dan sivik, yang akan kekal sebagai tarikh yang tidak dapat dilupakan dalam sejarah kesihatan awam.” – AFP, 3 Oktober, 2022.
Komen