POLIS Indonesia dikecam hebat susulan 125 maut dalam rempuhan di sebuah stadium bola sepak di mana anggota polis bertindak melepaskan gas pemedih mata ke arah peminat yang sedang marah dan menceroboh masuk ke padang.
Tragedy malam Sabtu di kota Malang itu turut menyebabkan 323 yang lain cedera, menurut polis, dan ia antara bencana sukan paling teruk pernah berlaku dalam sejarah dunia.
Penyokong Arema FC di stadium Kanjuruhan merempuh ke padang selepas pasukan kegemaran mereka tewas 3-2 di tangan pasukan pelawat yang juga pesaing tegar mereka, Persebaya Surabaya.
Polis yang menyifatkan ketegangan itu sebagai rusuhan, berkata mereka cuba memaksa peminat keluar padang dan terpaksa melepaskan gas pemedih mata selepas dua anggota polis terbunuh.
Ramai mangsa dipijak atau tercekik hingga mati, kata polis.
Jurulatih pasukan Arema Javier Roca berkata ada peminat mati dalam pelukan pemain, susulan beberapa pemain masih berada di padang selepas perlawanan tamat.
“Saya melihat tragedi itu selepas kembali daripada sidang akhbar. Pemain saya merentasi padang dengan ada yang memegang mangsa.
“Saya fikir polis melampaui batas,” katanya kepada stesen televisyen Sepanyol, Cadena Ser.
Mangsa terselamat berkata orang ramai panik apabila gas pemedih mata dilepaskan kepada mereka.
“Orang ramai berebut-rebut hendak keluar selepas gas pemedih mata dilepaskan, saling tolak menolak dan menyebabkan ramai cedera, ramai mati,” kata saksi, Doni, 43.
“Tidak ada apa pun jadi, bukannya ada rusuhan. Saya tidak tahu apa isunya, mereka tiba-tiba melepaskan gas pemedih mata. Saya terkejut.”
Orang ramai membawa mangsa tercedera merentasi kekecohan itu dan ada yang mendukung mayat keluar dari stadium.
“Sangat menakutkan dan mengejutkan,” kata Sam Gilang, 22, yang terselamat dalam insiden itu tetapi kehilangan tiga rakan yang maut.
“Orang ramai bertolak-tolak, ramai yang dipijak ketika menuju pagar keluar. Mata saya rasa terbakar kerana gas pemedih mata, nasib baik saya dapat panjat pagar dan terselamat,” katanya. – AFP, 3 Oktober, 2022.
Komen