SEKURANG-KURANGNYA 92 terbunuh susulan Iran mengenakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan yang tercetus daripada kematian Mahsa Amini, seorang wanita yang ditahan polis moral, kata kumpulan Hak Asasi Manusia Iran semalam.
Dengan protes masuk minggu ketiga, Presiden Ebrahim Raisi semalam berkata “musuh” Iran gagal dalam konspirasi mereka.
Amini, 22, wanita Kurdish warga Iran didapati meninggal dunia pada 16 September selepas ditahan kerana didakwa melanggar peraturan memakai tudung dan berpakaian menutup aurat. Kematiannya mencetuskan gelombang ketegangan di Iran.
Seramai 41 lagi maut dalam pertembungan protes di kawasan bersempadanan dengan Afghanistan dan Pakistan. Kekecohan tercetus apabila ketua polis di wilayah itu didakwa merogol seorang remaja perempuan daripada masyarakat minority Sunni Baluch.
Himpunan solidariti bersama wanita Iran – yang bertindak membakar tudung yang diwajibkan pakai sejak revolusi Islam pada 1979 – diadakan di seluruh dunia, dengan demonstrasi di lebih 150 bandar pada Sabtu.
Di Iran, pertembungan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan menggegarkan banyak bandar di seluruh negara itu untuk 16 malam berturut-turut selepas protes pertama diadakan di kampung halaman Amini. – AFP, 3 Oktober, 2022.
Komen