SEORANG daripada pembantu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang paling lama berkhidmat, Hope Hicks meletak jawatan sebagai pengarah komunikasi, menurut White House semalam.
Trump berkata Hicks menjalankan tugas dengan cemerlang sejak tiga tahun lalu.
“Hope amat cemerlang dalam tugasnya sejak tiga tahun lalu. Saya terasa dengan pemergiannya namun apabila beliau menyuarakan hasrat untuk meneroka bidang lain, saya amat memahami.
“Saya percaya kami akan bekerja sama di masa akan datang,” kata Trump dalam kenyataan berkenaan pengunduran pembantu paling dipercayainya, individu utama di sebalik kempen pilihan raya Republikan sebelum menyertainya di White House.
Sementara itu, Hicks menyatakan penghargaannya sepanjang bekerja dengan Trump.
“Tiada kata-kata mampu melahirkan penghargaan saya kepada Presiden Trump,” kata pembantu berusia 29 tahun itu dalam satu kenyataan.
Setiausaha White House, Sarah Sanders berkata tiada garis masa ditetapkan untuk pengunduran Hicks dan menafikan ia ada kaitan antara keputusannya dan panel siasatan Kongres terhadap campur tangan Rusia dalam Pilihan Raya Presiden 2016 pada Selasa.
Ketika kemunculannya di hadapan Jawatankuasa Perisikan Kongres, Hicks terperangkap untuk menjawab soalan diluluskan sebelumnya dan enggan menjawab banyak soalan lain yang dilontarkan oleh pembuat dasar.
Menurut pembuat dasar yang hadir pada sesi tertutup, tindakan itu bermaksud mengelak soalan mengenai tugasnya dan hubungan White House dengan Rusia.
Hicks dianggap individu paling berahsia dalam White House sejak Trump mengambil alih jawatan itu setahun lalu, namun menjadi perhatian awal Februari lalu apabila seorang lagi pembantu Presiden AS yang ada hubungan intim dengannya dituduh melakukan keganasan rumah tangga.
Bekas kakitangan setiausaha White House, Rob Porter yang menafikan dakwaan tindakan mendera oleh dua bekas isterinya, meletak jawatan selepas itu. – AFP, 1 Mac, 2018.
Komen