PASUKAN penyelamat menjumpai empat mayat dalam bot pendatang di luar Kepulauan Canary hari ini, hanya beberapa jam selepas seorang yang terselamat dibawa ke tempat selamat, dengan sebuah NGO berkata mereka belayar dengan 34 orang di dalamnya.
Menurut pengawal pantai Sepanyol Salvamento Maritimo di Twitter pasukan itu “menjumpai mayat empat mayat” dari sebuah bot kira-kira 150 batu nautika barat daya pulau Gran Canaria, dengan satu-satunya mangsa yang terselamat diselamatkan sebuah kapal dagang yang lalu dan kemudian dipindahkan dengan helikopter.
Helena Maleno, ketua Caminando Fronteras, sebuah NGO Sepanyol yang membantu bot pendatang yang berdepan masalah di laut, berkata mereka menerima panggilan kecemasan daripada kapal yang sama seminggu lebih awal selepas ia berlayar dari Sahara Barat.
Pada masa itu terdapat 34 orang di atas kapal.
“Pada hari Sabtu 24 September kami menerima amaran tentang sebuah bot yang meninggalkan pantai di selatan Laayoun pada waktu subuh pagi itu,” tweetnya sambil mengatakan mereka sudah memaklumkan pasukan penyelamat.
Selepas seminggu tanpa khabar berita, sebuah bot dikesan di selatan Kepulauan Canary membawa “seorang lelaki berusia 26 tahun yang keletihan dan empat mayat.
Pada penghujung malam, kami tahu ia adalah bot yang sama yang hilang bersama 34 penumpang lain,” katanya.
“Tragedi baharu di salah satu laluan pendatang paling maut – laluan Canaries,” kata Maleno sambil mengira “33 lagi mangsa”.
“Hanya empat mayat ditemui.. baki mangsa, seramai 29 orang, dilaporkan hilang. Keluarga mangsa akan mengalami kesedihan kerana tiada mayat yang dapat diucapkan selamat tinggal.”
Sejak awal tahun, sejumlah 11,522 pendatang berjaya menyeberangi laluan Atlantik yang berbahaya ke Kepulauan Canary Sepanyol, angka lebih tinggi sedikit berbanding tempoh sama tahun lalu.
Angka itu dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri hingga 15 September.
Tiada angka rasmi bagi mereka yang meninggal dunia dalam perjalanan tetapi angka dari Caminando Fronteras menunjukkan dalam enam bulan pertama tahun ini, 978 orang maut ketika cuba sampai ke Sepanyol, di mana 938 daripadanya lemas atau hilang di laut. – AFP, 2 Oktober, 2022.
Komen