SEKURANG-KURANGNYA 92 penunjuk perasaan maut dalam rusuhan yang tercetus susulan kematian Mahsa Amini selepas ditahan polis, kata kumpulan Hak Asasi Manusia Iran, hari ini.
Amini, 22, remaja Kurdish disahkan meninggal dunia pada 16 September selepas ditahan kerana didakwa melanggar peraturan yang mewajibkan wanita berhijab dan berpakaian sederhana.
Ia sekali gus mencetuskan gelombang pergolakan terbesar di Iran dalam tempoh hampir tiga tahun.
Seramai 41 orang lagi maut dalam rusuhan pada Jumaat di tenggara Iran, kawasan yang bersempadan dengan Afghanistan dan Pakistan, lapor IHR yang berpangkalan di Oslo memetik sumber tempatan.
Sumber berkata protes itu tercetus susulan dakwaan seorang ketua polis di wilayah itu merogol remaja perempuan Baluch.
Perhimpunan solidariti bersama wanita Iran – yang membakar tudung – diadakan di seluruh dunia, dengan demonstrasi di lebih 150 bandar, semalam.
Pertempuran antara penunjuk perasaan Iran dan pasukan keselamatan menggegarkan bandar-bandar di seluruh negara selama 16 malam berturut-turut selepas mereka mula-mula bergerak di wilayah barat yang menempatkan kumpulan minoriti Kurdish, kampung halaman Amini.
“Perusuh” dan “samseng”, melemparkan beberapa bom buatan tangan, menyerang ibu pejabat akhbar harian Tehra, Kayhan yang bersifat ultrakonservatif di Iran, semalam.
Pengarah akhbar itu dilantik pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei.
Pengarah IHR Mahmood Amiry-Moghaddam menggesa masyarakat antarabangsa mengambil langkah segera terhadap republik Islam itu untuk menghentikan pembunuhan penunjuk perasaan Iran, dengan mengatakan ia adalah “jenayah terhadap kemanusiaan”. – AFP, 2 Oktober, 2022.
Komen