Lebih baik jaga hal sendiri, kata Anwar kepada Azmin


Alfian Z.M. Tahir

Anwar Ibrahim menjangkakan tidak mudah buat Mohamed Azmin Ali mempertahankan kerusinya di Parlimen Gombak pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2022.

AHLI Majlis Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali sepatutnya hanya memberi tumpuan kepada kawasan Gombak dan bukannya mencabar orang lain, kata ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

Komen ahli Parlimen Port Dickson itu dibuat selepas Azmin dilaporkan berkata beliau mengalu-alukan sesiapa sahaja termasuk Anwar, isteri dan anak-anaknya jika mereka berminat untuk bertanding di Gombak.

Isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail kini ahli Parlimen Pandan manakala anak perempuannya Nurul Izzah adalah ahli Parlimen Permatang Pauh.

“Mengapa kami perlu risau mengenai dia (Azmin), dia harus menjaga kawasannya dan ia tidak akan mudah (untuk Azmin dalam pilihan raya umum),” kata Anwar.

Azmin adalah timbalan presiden PKR sebelum berpaling tadah kepada Bersatu berikutan Langkah Sheraton pada 2020 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Azmin bertanding di Gombak pada 2018 di bawah tiket Pakatan Harapan.

Dilaporkan awal hari ini, bekas menteri besar Selangor itu membidas Anwar dengan mengatakan beliau bersedia untuk bertanding di kerusi Parlimen Gombak.

Dalam ucapannya pada majlis Bersatu, Azmin berkata beliau juga sanggup berdepan isteri dan anak perempuan Anwar.

Mengenai pengumuman Anwar baru-baru ini beliau berhasrat untuk bertanding di kerusi yang disandang oleh “pengkhianat”, Azmin menyenaraikan peristiwa yang didakwa sebagai pengkhianatan Anwar sendiri kepada pengundi, seperti ‘Langkah Kajang’ yang gagal dan pilihan raya kecil Port Dickson.

Spekulasi timbul Anwar bersedia meninggalkan Port Dickson dan bertanding di Gombak atau Ampang.

Ampang kini diterajui seorang lagi bekas ahli PKR Zuraida Kamaruddin yang mengikuti Azmin semasa kemelut politik. – 2 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen