Rusuhan bola sepak Indonesia ragut 125 nyawa


Penyokong Arema FC menyerbu masuk padang di stadium Kanjuruhan selepas pasukan mereka tewas kepada pasukan pelawat, Persebaya Surabaya. – Gambar EPA, 2 Oktober, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA 125 orang maut selepas ribuan penyokong tuan rumah yang marah bertindak menyerbu masuk kawasan padang stadium bola sepak di bandar Malang, Indonesia, kata pihak berkuasa hari ini.

Pihak polis bertindak melepaskan gas pemedih mata menyuraikan keadaan, namun sebaliknya ia mencetuskan rempuhan besar.

Tragedi pada malam semalam itu turut menyebabkan 180 cedera. Ini merupakan antara insiden terburuk dalam sejarah bola sepak dunia.

Penyokong Arema FC menyerbu masuk padang di stadium Kanjuruhan selepas pasukan mereka tewas 3-2 kepada pasukan pelawat, Persebaya Surabaya.

Menurut polis, mereka cuba memaksa penyokong untuk kembali ke tempat duduk dan melepaskan gas pemedih mata selepas dua pegawainya terbunuh.

Ramai mangsa terpijak atau sesak nafas, menurut polis.

Timbalan Gabenor Jawa Timur, Emil Dardak berkata sekurang-kurangnya 174 orang maut sekali gus meningkatkan jumlah korban daripada 129 orang.

Mangsa yang terselamat menggambarkan penonton panik dalam kerumunan orang ramai ketika gas pemedih mata dilepaskan.

“Pegawai melepaskan gas pemedih mata, dan secara automatik orang ramai bergegas keluar, menolak antara satu sama lain dan ia menyebabkan ramai mangsa,” kata penonton yang hanya mahu dikenali sebagai Doni, 43, kepada AFP.

“Tiada apa-apa yang berlaku, tiada rusuhan. Saya tidak tahu apa isunya, mereka tiba-tiba melepaskan gas pemedih mata. Itu yang mengejutkan saya, tidakkah mereka memikirkan tentang kanak-kanak, wanita?”

Presiden Joko Widodo mengarahkan siasatan ke atas tragedi itu, semakan keselamatan semua perlawanan bola sepak dan mengarahkan persatuan bola sepak negara itu menangguhkan semua perlawanan sehingga “pemulihan keselamatan” selesai.

“Saya amat kesal dengan tragedi ini dan saya berharap tragedi bola sepak ini akan menjadi yang terakhir di negara kita,” kata Widodo. – AFP, 2 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen