Umno runding dengan PAS jika penuhi 3 syarat, kata Zahid


Pemimpin Umno pernah menyatakan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional sudah berkubur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2022.

UMNO akan kembali ke meja rundingan dengan PAS berhubung kerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika parti itu memenuhi tiga syarat ditetapkan, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, tiga syarat itu dikemukakan kepada PAS ketika pertemuan dengan presiden parti itu Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Ditanya apakah tiga syarat itu, Zahid berkata: “Saya sudah nyatakan itu (kepada PAS), lebih baik saya tidak menyebutkannya.

“Mereka (PAS) mengetahui syarat itu dan kalau mereka memenuhi syarat itu baharu rundingan boleh dilakukan dengan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penutup ‘Boot Camp’ BNComms di Alor Gajah, Melaka hari ini.

Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, permuafakatan antara Umno dan PAS untuk menghadapi PRU15 akan “kekal di takuk lama” jika tiada keputusan rasmi daripada PAS.

“Selagi PAS tidak membuat keputusan secara rasmi selagi itu kita tidak dapat merungkaikan apa juga isu dan perkara yang menjadi perbezaan antara kedua-dua parti,” katanya. – Bernama, 2 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen