IRAN sedang menunggu nyahbeku dana di luar negara berjumlah kira-kira AS$7 bilion selepas membenarkan seorang warga Iran-Amerika Syarikat (AS) meninggalkan negara itu dan membebaskan anaknya daripada tahanan, lapor media kerajaan, hari ini.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Baquer Namazi, 85, dibenarkan meninggalkan Iran untuk mendapatkan rawatan di luar negara dan anaknya Siamak, 50, dibebaskan daripada tahanan di Tehran.
“Dengan penyelesaian rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat untuk membebaskan tahanan kedua-dua negara, AS$7 bilion sumber Iran yang disekat akan dinyahbekukan,” kata agensi berita tempatan IRNA.
Berbilion dolar dana Iran dibekukan di beberapa negara terutamanya China, Korea Selatan dan Jepun sejak AS mengenakan semula sekatan ke atas republik Islam itu pada 2018 selepas secara unilateral menarik diri daripada perjanjian nuklear Tehran dengan kuasa dunia.
Tehran menuduh Seoul menyekat $7 bilion dananya sebagai “tebusan”, dan berulang kali meminta pihak berkuasa Korea Selatan untuk menyahbekukan.
Menurut IRNA: “Washington sedang mengejar pada masa yang sama pembebasan warganya yang ditahan di Tehran dan penyahbekuan dana Iran di Korea Selatan”.
Perkembangan itu berlaku ketika rundingan “on-off” dijalankan sejak April 2021 untuk menghidupkan semula perjanjian 2015 sekali gus memberikan Iran pelepasan sekatan yang amat diperlukan sebagai balasan untuk mengekang program nuklearnya.
Iran berulang kali menggesa supaya sekatan ditarik balik, serta jaminan AS tidak akan menarik diri lagi daripada perjanjian yang dihidupkan semula.
Baquer Namazi ialah bekas pegawai UNICEF yang ditahan pada Februari 2016 ketika beliau pergi ke Iran untuk mendesak pembebasan anaknya Siamak yang ditangkap pada Oktober tahun sebelumnya.
Kedua-duanya disabitkan dengan pengintipan pada Oktober 2016 dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun.
Bapa dibebaskan dengan cuti sakit pada 2018 dan menjalani hukuman tahanan di rumah. – AFP, 2 Oktober, 2022.
Komen