Isu pekerja asing belum selesai, kata Guan Eng


Pengerusi DAP Lim Guan Eng beberapa persatuan berulang kali menggesa Putrajaya agar menyelesaikan masalah pengambilan pekerja asing dengan segera.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2022.

DAKWAAN Kementerian Sumber Manusia bahawa permintaan Malaysia untuk buruh asing telah dipenuhi nampaknya bercanggah dengan rayuan daripada pemain industri yang mengeluh berikutan kekurangan itu memberi kesan kepada mereka, kata Lim Guan Eng.

Pengerusi DAP berkata beberapa persatuan berulang kali menggesa Putrajaya agar menyelesaikan masalah itu dengan segera dan mulakan dengan meminta kementerian berhenti mengendalikan pekerja asing kerana ia telah gagal.

Semalam, Kementerian Sumber Manusia mengumumkan kelulusan untuk 541,315 pekerja asing sehingga 26 September lepas, yang mana 436,613 daripadanya telah membayar levi.

Ia berkata dengan mengambil kira 1.3 juta pekerja asing sedia ada dan kuota yang diluluskan, jumlah itu hampir memenuhi jumlah permintaan industri untuk 1.8 juta buruh asing.

“Realitinya ialah kontraktor dalam keseluruhan industri pembinaan bercanggah dan mempertikaikan dakwaan palsu Kementerian Sumber Manusia bahawa masalah kekurangan buruh asing telah diselesaikan.”

“Master Builders Association Malaysia (MBAM) telah mengeluarkan kenyataan bagi pihak 10 persatuan, mengatakan bahawa kekurangan yang berterusan telah membantutkan pemulihan industri pembinaan, dengan menyatakan bahawa mereka menghadapi kadar faedah yang lebih tinggi pada masa yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lalu MBAM meminta campur tangan segera Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk memulihkan Pusat Pertukaran Buruh Pembinaan Berhad (Clab) bagi memudahkan kemasukan pekerja asing, memandangkan industri terus bergelut dengan kekurangan pekerja yang kronik.

Menurut persatuan itu, kunci untuk memastikan bekalan pekerja mencukupi ialah “memudahkan proses permohonan pekerja asing”.

Clab, kata mereka, sepatutnya dibenarkan mengendalikan isu pekerja asing tanpa penyertaan Kementerian Sumber Manusia kerana ini sudah pun menjadi rancangan asal untuk industri pembinaan.

Clab ialah sebuah organisasi yang ditubuhkan pada Julai 2002 oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk membawa masuk dan mengagihkan semula pekerja asing untuk syarikat dan organisasi di Malaysia. – 2 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen