PRESIDEN AS Joe Biden pada Sabtu mengumumkan yang Venezuela membebaskan tujuh warga Amerika “yang ditahan secara salah” di sana, dan Caracas mengesahkan penukaran tahanan itu berkata dua warga Venezuela turut dibebaskan daripada penjara AS.
Biden tidak menyebut tentang dua warga Venezuela itu atau penukaran tahanan, walaupun kedua-dua pengumuman dibuat hampir serentak.
“Hari ini, selepas bertahun ditahan secara salah di Venezuela, kami membawa pulang Jorge Toledo, Tomeu Vadell, Alirio Zambrano, Jose Luis Zambrano, Jose Pereira, Matthew Heath, dan Osman Khan,” kata Biden dalam kenyataan dikeluarkan White House.
Presiden berikrar yang “komitmennya kepada warga Amerika yang ditahan secara salah di seluruh dunia tidak berganjak”.
Kerajaan di Caracas dalam pengumuman pembebasan warganya turut menyatakan tentang pelanjutan rundingan diplomatik antara dua negara bertelagah itu.
“Kesan pelbagai rundingan diadakan sejak 5 Mac dengan wakil kerajaan AS, pembebasan dua orang muda Venezuela yang ditahan secara salah di negara itu sudah dicapai,” kata kerajaan tanpa mendedahkan nama mereka yang dibebaskan.
Ia juga mengesahkan yang pembebasan dibuat atas “sebab kemanusiaan” tanpa menyebut jumlah warga Amerika yang ditahan di Venezuela.
Lima daripada tujuh warga Amerika yang ditahan adalah eksekutif syarikat minyak Citgo yang ditahan pada 2017 dalam lawatan kerja ke negara Amerika Selatan itu dan didakwa atas pertuduhan rasuah.
Citgo adalah anak syarikat minyak Venezuela PDVSA yang bertapak di AS.
Pekerja Citgo- bekas presiden syarikat Pereira bersama-sama Vadell, Toledo dan Zambranos, dijatuhi hukuman penjara lebih 13 tahun.
Dua lagi warga AS – tentera laut Heath dan Khan- ditahan dalam kejadian berasingan.
Kedua-dua pihak tidak menamakan warga Venezuela yang dibebaskan tetapi Washington Post melaporkan mereka adalah Franqui Flores dan sepupunya Efrain Campo, kedua-duanya adalah anak saudara isteri Presiden Venezuela Nicolas Maduro.
Mereka ditahan di Haiti sebelum di bawa ke New York dan disabitkan bersalah atas dakwaan dadah.
AS sudah lama menyatakan yang tujuh warganya itu ditahan atas sebab mencurigakan. Jurucakap Jabatan Negara Ned Price menggelarkan mereka “biduk politik”.
Hubungan kedua-dua negara tegang sejak bertahun-tahun. AS adalah salah satu daripada 60 buah negara yang enggan mengiktiraf Maduro sebagai presiden dipilih rakyat secara sah. – AFP, 2 Oktober, 2022.
Komen