SEBUAH traktor yang menarik gerabak membawa orang dari sebuah kuil di India terbalik pada Sabtu sebelum terjunam ke dalam sebuah kolam, membunuh sekurang-kurangnya 27 orang, lapor media India.
Kemalangan berlaku di bandar Kanpur, Uttar Pradesh itu juga menyebabkan 22 orang cedera, lapor The Times of India.
Media lain bagaimanapun melaporkan jumlah kematian lebih rendah.
Traktor itu sedang membawa pulang penganut Hindu dari kuil Chandrika Devi, kata laporan.
Perdana Menteri Narendra Modi menerusi Twitternya mengucapkan takziah kepada mangsa.
“Sedih dengan kecelakaan traktor-gerabak di Kanpur. Ingatan saya kepada mereka yang kehilangan orang tersayang dan doa saya untuk mereka yang cedera,” kata Modi.
Ketua Menteri Uttar Pradesh Yogi Adityanath berkata kenderaan jenis itu sepatutnya digunakan untuk membawa hasil pertanian bukannya orang, lapor The Hindu.
“Kemalangan jalan raya di daerah Kanpur sangat menyedihkan,” katanya. – AFP, 2 Oktober, 2022.
Komen