AS, Australia dan Jepun perhebatkan kerjasama berdepan pengaruh China


Aktiviti ketenteraan China di rantau Pasifik mencetuskan kebimbangan serantau. – Gambar AFP, 2 Oktober, 2022.

Kementerian Pertahanan Amerika Syarikat, Australia dan Jepun pada Sabtu bersetuju untuk menggalakkan kerjasama ketenteraan bagi berdepan tindakan China.

“Kami amat bimbang dengan pertambahan tindakan agresif dan buli China di Selat Taiwan dan kawasan lain di rantau ini,” kata Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin ketika menyambut rakan sejawatnya dari Australia dan Jepun ke pangkalan tentera AS di rantau Pasifik.

“Kepentingan kita berasaskan sikap mematuhi aturan peraturan global. Tetapi apa yang kita lihat aturan itu sedang berdepan tekanan di Indo-Pasifik ketika China cuba membentuk semula dunia di sekelilingnya, sesuatu yang tidak pernah disaksikan sebelum ini,” kata Menteri Australia Richard Marles.

AS sedang menggunakan tekanan diplomatik bagi mengekang pengaruh China di rantau itu.

Pada Khamis, Washington mengumumkan pakej bantuan bernilai AS$810 juta kepada negara Kepulauan Pasifik dan merancang memperhebat tekanan diplomatik.

Naib Presiden Kamala Harris minggu lepas melawat Jepun dan Korea Selatan serta berkata AS akan bertindak tanpa gentar dan teragak-agak di seluruh Asia termasuk di Selat Taiwan.

Beijing menganggap Taiwan adalah wilayahnya dan juga menuntut selat yang memisahkan kedua-dua kawasan itu.

Harris juga melawat Seoul dan kawasan bebas tentera antara dua Korea. Lawatan itu direka bagi menunjukkan komitmen Washington mempertahankan Korea Selatan daripada Korea Utara. – AFP, 2 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen