Iran tanpa undang-undang pemaksaan tudung


Faisal Tehrani

Beberapa wanita bertudung berjalan di sekitar Tehran, Iran.– Gambar EPA, 2 Oktober, 2022.

SAYA berpendapat Iran tanpa undang-undang yang mewajibkan pemakaian hijab, tudung, cadur atau jilbab akan lebih atau kurang seperti Iraq, di mana lebih ramai wanita akan memilih mengenakan hijab, tudung, cadur atau jilbab.

Saya pernah menjadi pensyarah jemputan di Universiti Kufah, Iraq lebih sebulan; maka saya dapat merasai sedemikian.

Iran tanpa undang-undang mewajibkan pemakaian hijab, tudung, cadur atau jilbab akan seperti Turki, di mana kini kelihatan lebih ramai wanita mereka gemar bergaya mengenakan hijab, tudung, cadur atau jilbab.

Saya pernah menetap di Istanbul-Urgup cukup lama satu ketika dahulu, Erdogan tatkala itu masih Datuk Bandar Istanbul; maka saya sudah melihat fenomena ini juga.

Iran tanpa undang-undang mewajibkan pemakaian hijab, tudung, cadur atau jilbab akan seperti Malaysia, di mana ada wanita yang mahu berhijab, bertudung, berjilbab; pun akan ramai juga wanita merasa merdeka untuk tidak memilih hijab, tudung, cadur atau jilbab.

Masalah dengan pemaksaan satu hukum atau simbol agama adalah ia akan membawa kepada kekerasan.

Masalah dengan pemaksaan satu hukum atau simbol agama adalah ia akan membawa kepada ketakutan.

Masalah dengan pemaksaan satu hukum atau simbol agama adalah ia akan membawa kepada hipokrasi dan kemunafikan.

Ia membawa kita kepada dunia penuh kekhuatiran, seperti kaum wanita Afghanistan yang hidupnya takut sepanjang masa di bawah pemerintahan Taliban.

Beragama tidak boleh dengan takut. Beriman harus dengan keyakinan dan keilmuan. Bertaqwa harus dengan kematangan.

Jika beragama dengan tiada kerelaan, ia membawa kita kepada dunia penuh perlawanan dan pertelingkahan seperti ya, di utara kota Tehran. Ia membawa kita kepada dunia penuh kepura-puraan seperti ya, di sesetengah tempat di Kelantan.

Tidak ada sesiapa yang suka dipaksa. Apatah lagi jika dalam beragama. Tuhan yang menciptakan insan pun memberikan kita pilihan, dan kita dituntut ada pertimbangan sendiri. Sang Pencipta akan menghakimi kita kelak berdasarkan pilihan akal dan pertimbangan tersebut.

Memaksakan hukum dan simbol seperti terlihat hari ini, membawa kita kepada sekolah dengan lambang agama yang menyembunyikan banyak rahsia pelecehan dan pencabulan.

Memaksakan hukum dan simbol membawa kita kepada pendakwah selebriti atas nama agama yang menyembunyikan banyak penodaan dan kemiangan.

Memaksakan hukum dan simbol agama membawa kita kepada parti atas nama agama yang mendedahkan banyak pelacuran dan penunggangan.

Oleh sebab nanti ia dilihat sebagai lambang beragama, maka tatkala lambang itu kelak dibenci (atas apa sebab pun), maka agama yang mendapat nama buruk.

Jika beragama tidak dipaksakan musuh tidak ada kesempatan memburuk dan menghodohkan agama.

Itulah sebabnya memang dianjurkan supaya tiada paksaan. Jika kamu ingin mencapai objektif – katakan amalan beragama dengan simbol tertentu – sila lakukan dengan penghujahan (justeru rasio) dan bujukan (justeru pembudayaan), bukan sama sekali dengan undang-undang (justeru paksaan).

Ada seorang tokoh masa lalu dari Iran, namanya Ayatullah Taleqani. Almarhum sudah melihat jauh bahaya dan risiko agama dipaksakan, atau amalan beragama dijadikan undang-undang dan hukum negara.

Menurut Mohamad Mahdi Esmaili, Farhad Zivyar dan Sayyid Reza Hosseini dalam ‘Ayatollah Sayyid Mahmoud Taleqani’s Political Thoughts: A Mid-line Between the School of Qom and Najaf’ termuat dalam jurnal Jostarha-ye Siyasi-ye Mo’aser 4 (10) halaman 27-45, Ayatullah Taleqani dianggap seorang ulama yang dapat mengimbangi antara sekolah pemikiran Qom dan Najaf, dua pusat pengeluaran produk ulama di dunia Syiah.

Dua sekolah ini sedikit berbeza kutub dalam hal wewenang seorang ulama ketika ketiadaan Imam suci.

Untuk sarjana-aktivis kita yang berminat dengan sisi idea, analisis tulisan dan khutbah Ayatullah Taleqani, tokoh yang melakukannya dengan mendalam antara lain adalah Hamid Algar dalam ‘Society and Economics in Islam: Writings and Declarations of Ayatullah Sayyid Mahmud Taleghani’ yang kebanyakan sumbernya daripada karangan Taleqani bertajuk ‘Islam wa Malikyat dar Muqayesa ba Nezam-hi Ghrab (Islam dan Pemilikan Satu Perbandingan Dengan Sistem Barat), Tabayun-e Resalat Barai Qeyam ba Qist (Menjelaskan Makna Misi Kebangkitan Mencapai Keadilan), selain ucapan-ucapan beliau di persidangan antarabangsa seperti di Karachi pada tahun 1953, Kaherah pada tahun 1959 dan di Baitul Maqdis dan Jordan pada tahun 1961.

Kerja-kerja Ayatullah Taleqani sebelum Revolusi Iran menekankan, pertamanya, mengenai tauhid atau monoteisme yang menurut beliau asas kepada pembebasan dan kebebasan dalam Islam. Manusia berhak memilih berdasarkan kehendak diri. Manakala taghut menurut beliau adalah “… mengetepikan pihak berkuasa, kelas yang menidakkan hak-hak asasi manusia dan menekan kebebasan berfikir.”

Keduanya, Ayatullah Taleqani menegaskan misi kenabian itu adalah untuk mendorong manusia bangkit mendapatkan Qist, dan menegakkan ekuiti.

Qist kata almarhum adalah “setiap insan dengan kemampuan dan bakat diletakkan menduduki posisi yang patut dan berhak untuk mereka. Mereka beroleh hak dan mengisi tanggungjawab yang diiktiraf untuk semua manusia di atas muka bumi ini dengan sumber-sumber sedia ada.”

Qist kata almarhum bukan sahaja mengenai keadilan ekonomi tetapi juga mengenai idea kebebasan secara menyeluruh. Tujuan revolusi kata Ayatullah Taleqani adalah mendapatkan kebebasan dan ekuiti ini.

Ketiga, Ayatullah Taleqani juga menegaskan bahawa kerajaan Islam bukanlah kerajaan Akhunds (ulama) kerana dua sebab. Satu, ulama bukanlah kelas tertentu. Kedua, kalaupun ulama itu satu kelas, maka dalam kerajaan atas nama Islam, tiada mana-mana ‘social stratum’ yang mempunyai hak untuk menguasai kerajaan dan menekan atau menafikan hak kelompok lain untuk ikut terlibat.

Model Al-qaeim bil-qist (berdiri dengan ekuiti) ini menurut beliau terdapat pada Imam Hussein yang syahid dibunuh di Karbala. Imam Hussein adalah pemimpin yang menegakkan keadilan dalam masyarakat, sentiasa berwaspada agar semua orang mendapat haknya, tidak melakukan diskriminasi, dan memberikan setiap orang posisi yang mereka berhak.

Dalam mentadbir rakyat, kata Taleqani, formula penting adalah La dharara wa la dharaara fi-l Islam (tiada boleh memudaratkan orang lain dalam Islam). Dalam hal rakyat iaitu Nas, seperti dalam Li yaquman-nas, ia bermaksud manusia yang telah mencapai kesedaran politik, dan bukan bermaksud kelas tertentu termasuk para ulama.

Selain itu Ayatullah Taleqani memperkenalkan gerakan ‘non-violent resistance’ yang beliau sebutkan sebagai ‘Mazloumyat’ atau dimangsai oleh musuh yang kejam.

Dalam kertas akademik berjudul ‘Liberty in Discourses of Imam Khomeini and Ayatollah Taleghani’ karangan Amir Dabirimehr, Malihe Tabatabai Fatmi, dan Ali Akbara Amini, para pengkaji menyatakan almarhum Ayatullah Taleqani menyarankan interaksi antara kumpulan ulama dan intelektual-profesional di Iran.

Beliau juga menggagaskan permesyuaratan atau council di peringkat atau unit kecil (kerajaan tempatan). Council ini kata beliau bahagian paling penting dalam demokrasi.

Pada pandangan Taleqani, masyarakat adalah seperti anak kecil yang mesti diberi peluang untuk bertatih, berjalan, dibiarkan jatuh bangun sendiri, kerana ini adalah bahagian dari kebangkitan yang akan mengukuhkan pergerakan masyarakat sebagai satu tubuh.

Ayatullah Taleqani juga mendesak sebuah kerajaan agar memelihara kebebasan intelektual dan kepelbagaian idea meskipun bertentangan dan berbeza. Beliau melihat sebarang penafian hak untuk memilih sebagai satu perhambaan dan merupakan hal terburuk sekali untuk masyarakat.

Justeru beliau meneriakkan motto menolak kolonialisme, menolak tirani, dan menolak eksploitasi.

Ada banyak lagi pemikiran dan gagasan Ayatullah Taleqani yang hebat dan setanding dengan apa yang diutarakan oleh Dr Ali Shariati, Ayatullah Mutahhari dan lain-lain. Sayang tidak cukup ruang di sini.

Ayatullah Taleqani meninggal dunia awal (hujung tahun 1979), dan tidak sempat melihat perjalanan ‘Republik Islam’ di Iran.

Pihak establishment Iran mempunyai ramai musuh internal dan eksternal. Iran berdepan dengan pelbagai sekatan ekonomi di peringkat antarabangsa. Undang-undang keras boleh dieksploitasi oleh mereka untuk agenda tertentu.

Maka tidaklah menghairankan jika banyak klip video yang tidak tentu asalnya diputar untuk membakar emosi sebahagian mereka yang memang tidak berpuas hati dengan pelbagai undang-undang.

Sebagai contoh sebuah klip dari siri televisyen  Azerbaijan berjudul Ata Ocaği disebarkan dengan naratif palsu bahawa ia memaparkan seorang ayah yang berjanji untuk menari di hari nikah anak perempuannya kini menari di sisi pusara kerana hancur hatinya dek anak mati ditembak pihak berkuasa dalam satu protes berkait Mahsa Amini.

Tatkala fakta diperiksa ternyata ia klip video sebuah drama tanpa kaitan. Kita orang luar Iran ikut percaya.

Musuh luar dalam pihak establishment agama di Iran malangnya boleh menggunakan klip ini kerana apa? Kerana ada kelompongan dan kesempatan tersedia.

Ini kerana kelompongan itu dalam bentuk sesuatu yang tidak boleh dipaksa, tetapi dipaksakan. Musuh tidak akan dapat mengeksploit jika tiada undang-undang mewajibkan tudung.

Kembali kepada Ayatullah Taleqani yang menolak eksploitasi dan sebarang ruang yang boleh membuka itu. Undang-undang keras boleh dieksploitasi oleh musuh untuk agenda tertentu.

Saya berpendapat Iran tanpa undang-undang yang mewajibkan pemakaian hijab, tudung, cadur atau jilbab akan lebih atau kurang seperti Iraq, di mana lebih ramai wanita akan memilih mengenakan hijab, tudung, cadur atau jilbab. 

Iran tanpa undang-undang mewajibkan pemakaian hijab, tudung, cadur atau jilbab akan seperti Turki, di mana kini kelihatan lebih ramai wanita mereka bergaya mengenakan hijab, tudung, cadur atau jilbab.

Iran tanpa undang-undang mewajibkan pemakaian hijab, tudung, cadur atau jilbab akan seperti Malaysia, di mana ada wanita yang mahu berhijab, bertudung, berjilbab; pun akan ramai juga wanita merasa merdeka untuk tidak memilih hijab, tudung, cadur atau jilbab.

Terdapat banyak suara progresif dalam mazhab Syiah dulu dan sekarang. Salah seorangnya yang saya kupas panjang lebar di atas, ialah Ayatullah Taleqani.

Ada ramai lain yang kontemporer; sayang mereka dibungkam. Pada era penipuan di hujung hari, tentu kerangka konservatif boleh dan akan terus dieksploit menjadi bahan musuh.

Alangkah baiknya gagasan Ayatullah Taleqani dipugar kembali, dan bukan hanya dilekatkan secara kaku pada nama sebuah hospital di Iran.

Hari ini seribu kali malang ada orang sudah menyamaratakan pentadbiran Taliban dan Tehran kerana memaksakan atas nama agama.

Keistimewaan Syiah sebagai mazhab sentris, moderat, wasatan sejak dari era Imam Jaafar Sadiq kini dipertaruhkan. Semuanya atas nama syiar yang dipaksakan.

Betapa tidak berbaloinya. – 2 Oktober, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen