Agensi siasat punca pelancong Pulau Perhentian jatuh sakit, kata Motac


Menurut Motac, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu sudah memberikan gambaran jelas mengenai kejadian di Pulau Perhentian Kecil. – Gambar Facebook, 1 Oktober, 2022.

AGENSI bertanggungjawab sedang mengambil tindakan bagi mengenal pasti punca berlakunya kejadian sekumpulan pelancong mengalami gejala pening, muntah serta demam selepas pulang daripada bercuti di Pulau Perhentian Kecil di Besut, Terengganu.

Menurut kenyataan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) hari ini, perkara itu dimaklumkan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu yang dihubungi kementerian itu bagi mendapatkan gambaran jelas mengenainya.

“Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu memaklumkan pihaknya berkomunikasi dengan beberapa agensi di peringkat negeri seperti Pejabat Daerah Besut dan Pejabat Kesihatan Daerah Besut dan dimaklumkan agensi yang bertanggungjawab sudah dan sedang mengambil tindakan bagi mengenal pasti punca utama berlakunya kejadian itu,” menurut Motac.

Menurut kenyataan itu, Motac memandang serius perkara yang membabitkan tahap keselamatan dan kesihatan pelancong, sama ada domestik atau dari luar negara, dan kejadian seperti itu perlu ditangani secara tuntas bagi memastikan hasrat kerajaan memulihkan industri pelancongan negara dalam masa terdekat dicapai.

Semalam, sebuah portal berita dalam talian melaporkan sekumpulan 40 orang pelancong terdiri daripada 27 dewasa dan 13 kanak-kanak yang bercuti tiga malam ke Pulau Perhentian Kecil jatuh sakit selepas berenang di perairan pulau itu.

Menurut laporan itu, sebahagian mereka mengalami cirit-birit dan demam panas sejurus selepas pulang dan beberapa orang dimasukkan ke hospital, manakala seorang kanak-kanak berusia setahun disahkan menghidap kepialu dan dua lagi kanak-kanak mengalami keracunan darah. – Bernama, 1 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen