Lubnan terima 'tawaran' AS dalam perjanjian sempadan maritim Israel


Lubnan dan Israel menyambung semula rundingan sempadan maritim pada 2020, tetapi ia terhenti selepas Beirut mendakwa peta yang digunakan PBB dalam rundingan itu perlu diubah suai. – Gambar EPA, 1 Oktober, 2022.

LUBNAN mengesahkan negara itu menerima surat daripada diplomat Amerika Syarikat (AS) Amos Hochstein yang mengandungi “tawaran” mengenai perjanjian sempadan maritim dengan Israel yang boleh menyelesaikan tuntutan persaingan terhadap rantau gas luar pesisir.

Perdana Menteri Najib Mikati bertemu duta AS ke Lubnan Dorothy Shea “yang menyampaikan tawaran bertulis daripada pengantara AS”, kata pejabat perdana menteri tanpa mengulas lanjut.

Presiden Michel Aoun juga bertemu Shea “yang menyerahkan surat bertulis kepadanya… mengandungi cadangan mengenai persempadanan maritim selatan,” menurut pejabat Aoun.

Aoun menghubungi Mikati dan speaker Parlimen Nabih Berri untuk membincangkan cara bagi tindakan susulan mengenai “tawaran” itu dan menyampaikan jawapan Lubnan “secepat mungkin”, tambah  pegawai presiden.

Lubnan dan Israel, yang sempadannya dikawal PBB, tidak mempunyai hubungan diplomatik.

Mereka kemudiannya menyambung semula rundingan sempadan maritim pada 2020, tetapi ia terhenti selepas Beirut mendakwa peta yang digunakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam rundingan itu perlu diubah suai.

Rundingan pengantaraan AS dimulakan semula pada awal Jun selepas Israel memindahkan kapal pengeluaran berhampiran kawasan luar pesisir Karish yang sebahagiannya dituntut Lubnan.

Pengumuman itu disusuli kenyataan pegawai Lubnan, termasuk Aoun dan Mikati, yang menyatakan keyakinan perjanjian dengan Israel sudah hampir.

“Tindak balas Lubnan akan dibuat secepat mungkin, sebagai persediaan untuk langkah seterusnya,” kata seorang pegawai di pejabat presiden yang enggan namanya didedahkan kepada AFP hari ini.

Bulan lalu, Aoun memberitahu Penyelaras Khas PBB ke Lubnan, Joanna Wronecka, “rundingan untuk persempadanan maritim selatan berada di peringkat akhir”. – AFP, 1 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen