Turkiye kecam aneksasi 4 wilayah Ukraine secara haram


Tukiye menganggap pengisytiharan Lugansk, Donetsk, Kherson dan Zaporizhzhia sebagai sebahagian daripada wilayah Russia sebagai tidak sah. – Gambar EPA, 1 Oktober, 2022.

TURKIYE menyifatkan pengilhakan (aneksasi) empat wilayah Ukraine oleh Russia secara haram sebagai “pencabulan” terhadap undang-undang antarabangsa dan mendesak diadakan rundingan bagi menamatkan konflik itu.

Menurut Kementerian Luar negara itu dalam satu kenyataan, Ankara tidak mengiktiraf aneksasi ke atas Crimea pada 2014 dan mengulangi pendiriannya selepas Russia pada Jumaat mengisytiharkan Lugansk, Donetsk, Kherson dan Zaporizhzhia sebagai sebahagian daripada wilayahnya susulan referendum yang dikecam dunia sebagai tidak sah.

“Turkiye tidak mengiktiraf aneksasi Crimea oleh Russia susulan referendum tidak sah pada 2014 dan memberi sokongan padu terhadap integriti wilayah, kemerdekaan dan kedaulatan Ukraine,” menurut kementerian itu.

Kementerian itu menambah ia menolak aneksasi terbaru “yang merupakan pencabulan terhadap prinsip undang-undang antarabangsa”.

“Kami mengulangi sokongan kami kepada penyelesaian perang ini secara aman dan adil yang akan dicapai melalui rundingan,” tambah kenyataan itu.

Turkiye yang juga anggota Nato, cuba mengamalkan dasar berkecuali sepanjang konflik tujuh bulan dan mengelak daripada menyertai sekatan Barat terhadap Russia.

Ankara bergantung kepada minyak dan gas Russia manakala Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berminat untuk meningkatkan dagangan dengan Moscow ketika beliau cuba menstabilkan ekonomi yang terjejas menjelang pilihan raya Jun depan.

Erdogan bertemu rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin di luar sidang kemuncak serantau di Uzbekistan bulan lalu.

Bagaimanapun, Turkiye kini sedang menimbang sama ada akan menghentikan transaksi yang dibuat menggunakan sistem pembayaran Mir Rusia selepas berulang kali menerima amaran daripada Amerika Syarikat.

Washington meningkatkan tekanan ke atas bank dan perniagaan Turkiye supaya mematuhi sekatan Barat terhadap Russia sambil memberi amaran entiti negara itu berisiko terdedah kepada sekatan sekunder sendiri. – AFP, 1 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen