Ciapan Syed Saddiq mengenai PRU15 buatkan rakyat marah terhadap Pakatan


Desmond Davidson

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu rakyat bangkit menentang Umno yang tetap mahu mengadakan PRU15 pada musim banjir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2022.

CIAPAN ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengajak rakyat Malaysia menentang Umno kerana mendesak pilihan raya ketika musim banjir hanya mengundang kemarahan terhadap Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan.

Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia atau lebih dikenali sebagai Muda itu menulis di Twitter malam tadi: “#UndiBanjir. Umno mahu lawan, rakyat akan lawan mereka. Kami melakukannya sekali, kami akan melakukannya sekali lagi. Mari lakukannya!”

Syed Saddiq berkata demikian selepas Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, pada akhir mesyuarat majlis tertinggi parti di Pusat Dagangan Dunia malam tadi mengumumkan PRU15 akan diadakan tahun ini.

Kak EL@Elviralahweyy, membalas ciapan yang menghasilkan 295 tweet semula, 65 tweet petikan dan 970 like menjelang tengah hari hari ini, menjawab dengan ringkas: “Rakyat tidak mahu”.

Muda semalam memulakan perbincangan rasmi dengan PH untuk menjadi ahli komponen gabungan utama pembangkang.

Salah seorang pengikut Syed Saddiq di platform media sosial, yang menggunakan nama viveksarati@vivek_sarati, meluahkan kekecewaan dan dendamnya terhadap PH apabila beliau berkata, rakyat sudah muak dengan politiking.

“Kami mengharapkan perubahan pada PRU14. Beritahu saya, apa yang kamu lakukan dengan undian kami? Bertengkar berterusan, khianat. Perbincangan pintu belakang. Mengecewakan. Kita semua tahu Umno teruk, tetapi parti gabungan PH lebih teruk. Semua ada agenda tersembunyi.”

Seorang lagi pemegang akaun Twitter yang menggunakan nama beware@beware_29112 menyuarakan sentimen yang sama apabila dia meminta Syed Saddiq “untuk meluangkan sedikit masa memikirkan betapa dia dipuja oleh setiap orang, termasuk saya”.

“Tapi hari ni, yucks la weh! Anda hanya seorang lagi hipokrit. Tolong jangan datang ke PH. Pls! Nak anggap merayu pun merayu pi la, awak pergi buat semua permainan politik awak yang tidak relevan di tempat lain.”

Malay Traditionalist@malaystrategist dengan tegas memberitahu Syed Saddiq beliau dan sekutu politiknya dalam PH tidak mempunyai harapan untuk mengulangi kemenangan PRU 2018 mereka ketika “Rakyat dah tak percaya dah PH ni (rakyat tidak lagi percaya kepada PH)”.

Bagaimanapun, tidak semua jawapan mengecam Syed Saddiq dan PH.

Tan Wai Loon@tanwailoon, dalam menjawab soalan ahli Parlimen muda itu, secara sinis meminta rakyat Malaysia melukis gambaran mental mengenai bagaimana rasanya mengadakan PRU ketika musim banjir.

“Mari kita berhibur dengan idea pilihan raya dalam banjir.

“1. Orang ramai beratur untuk mengundi. 2. Pandang ke kiri adalah bilik darjah tempat pengundi membuang undi. 3. Pandang ke kanan adalah mangsa di sebelah khemah mereka, duduk di atas lantai dengan perasaan trauma.”

Syed Saddiq berkhidmat sebagai menteri belia dan sukan dalam pentadbiran PH di bawah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dari Julai 2018 sehingga kejatuhan kerajaan Pakatan pada Februari 2020.

Semasa masih dalam kerajaan, ahli Parlimen berusia 29 tahun itu memainkan peranan penting pada 2019 untuk desakan menurunkan umur mengundi - Undi 18 - di Parlimen.

Syed Saddiq ketika ini berdepan tuduhan ketika mengetuai sayap pemuda Bersatu, beliau didakwa menyalahgunakan lebih RM1 juta dana sayap itu.

Beliau juga menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Mahkamah menetapkan 6 Oktober untuk pasukan pembelaan Syed Saddiq membuat hujahan lisan mereka. – 1 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen