Malaysia perlu perlindungan data lebih baik tangani penipuan online, kata Fahmi


Elill Easwaran

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata kerajaan perlu bertindak lebih lagi dalam isu penipuan atas talian bagi mengelak ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2022.

LEBIH banyak tindakan perlu diambil bagi memastikan perlindungan data peribadi supaya rakyat Malaysia tidak mudah terpedaya dan menjadi mangsa penipuan atas talian, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Beliau berkata masalah penipuan atas talian sangat serius, menambah Pakatan Harapan (PH) sering memperjuangkan untuk mengukuhkan perlindungan peribadi individu.

“Banyak lagi perlu dilakukan kerajaan untuk mencegah rakyat Malaysia menjadi mangsa penipuan atas talian,” katanya ketika kempen kutipan dana PRU15 untuk Lembah Pantai malam tadi.

“Penipuan atas talian antara aduan yang sering diterima di Lembah Pantai. Sama ada PH mengambil isu itu sebagai manifesto pilihan raya atau tidak, perubahan sudah pun bermula,” katanya.

Katanya, beliau mmang berminat dalam membangkitkan isu penipuan atas talian.

“Saya menyaman kerajaan pada 2018 selepas Nuemera Sdn Bhd, sebuah syarikat swasta diambil oleh SKMM gagal memastikan keselamatan maklumat peribadi pengguna rakyat Malaysia,” katanya.

Fahmi mengemukakan tuntutan saman terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu kebocoran data peribadi pada 2014 membabitkan 46.2 juta pengguna telekomunikasi.

Fahmi turut menggesa kerajaan membina pusat anti penipuan bagi memerangi scammer dan aktiviti atas talian mereka secara berkesan.

Walaupun beliau mengalu-alukan usaha Bank Negara untuk mengekang penipuan atas talian, banyak lagi perlu dilakukan kerajaan untuk menangani isu itu. – 1 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen