10 terbunuh kereta api bertembung di Mesir 


Kejadian kereta api bertembung di Alexandria, Mesir yang mengorbankan 27 nyawa. Dalam kejadian terbaru di Mesir, 10 orang dilaporkan terbunuh dalam kemalangan terbaru membabitkan kereta api di negara itu. – Gambar EPA, 28 Februari, 2018.

DUA kereta api bertembung menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang maut manakala 15 lagi cedera dalam kejadian di Mesir pada Rabu, yang merupakan kejadian terbaru kemalangan maut membabitkan kereta api di negara itu, kata kementerian kesihatan.

Pertembungan antara kereta api penumpang dan kereta api kargo itu berlaku di wilayah Behaira.

Rakaman stesen televisyen tempatan menunjukkan sekurang-kurangnya dua gerabak tergelincir dari landasan. Orang awam dan anggota pasuakn perubatan dilihat bertungkus lumus mengeluarkan mangsa yang cedera dan membawa mereka ke ambulans.

Gabenor wilayah berkenaan memberitahu media Mesir, beliau akan melawat kawasan kejadian, namun pejabat endakwaraya sudah menghantar wakil mereka ke lokasi terbabit.

Pegawai kementerian kesihatan Alaa Othman memberitahu stesen televisyen negeri itu, kesemua mangsa yang cedera dan mati sudah dikeluarkan daripada lokasi kejadian.

Punca kejadian bagaimanapun masih belum jelas, namun ia berlaku beberapa bulan selepas 41 orang maut dalam kejadian kereta api bertembung di bandar Alexandria pada Ogos lalu.

Pemandu kereta api terbabit yang terselamat dalam kejadian itu ditahan untuk soal siasat.

Ia merupakan kemalangan kereta api paling buruk di Mesir sejak kejadian kemalangan kereta api dengan bas yang menyebabkan 27 orang terbunuh pada November 2014 di selatan Kaherah. – AFP, 28 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen