Pakatan 3 parti pembangkang Sarawak tumbang


Desmond Davidson

(Duduk dari kiri) Presiden Aspirasi Lina Soo, Presiden Sedar Othman Abdillah dan Presiden PBDSB Bobby William menandatangani MOU membentuk Gagasan Anak Sarawak pada 18 Ogos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2022.

GAGASAN Anak Sarawak, pakatan yang terdiri daripada tiga parti pembangkang kecil berpangkalan di Sarawak tumbang beberapa minggu selepas ia dilancarkan.

Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Bobby Williams berkata pakatan itu tumbang hanya “beberapa hari” selepas parti berkenaan menandatangani memorandum persefahaman pada 18 Ogos.

William berkata Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) menarik diri tanpa memberikan sebarang alasan.

Parti ketiga dalam pakatan itu ialah Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) - sebuah parti yang memperjuangkan pemulangan hak negeri yang terhakis di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya boleh katakan persefahaman antara tiga parti politik ini (belum) menjadi kenyataan,” katanya. 

Salah satu syarat MoU itu adalah untuk mendaftarkan perikatan itu dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan – justeru itu dinamakan Gagasan Anak Sarawak.

Presiden Aspirasi Lina Soo ketika dihubungi berkata beliau tidak mempunyai sebarang komen buat masa ini kerana baru mengetahui mengenai berita itu.

Abdillah juga ketika dihubungi berkata beliau tidak mempunyai sebarang komen.

Katanya beliau akan memberikan kenyataan mengenainya “dalam beberapa hari”.

Williams berkata PBDSB menjalinkan persefahaman dengan dua lagi parti berasaskan negeri Parti Sarawak Bersatu dan Parti Bumi Kenyalang dan mereka akan menandatangani MoU mengenainya esok di Sibu.

Tempat menandatangani perjanjian itu adalah di Hotel Paramount.

PSB dan PBK menandatangani MoU mereka pada 19 September.

“PBDSB cuba berdiri sendiri sejak hari parti itu bangkit pada 2013. Bagaimanapun dalam setiap pilihan raya kami tidak mendapat keputusan yang memberangsangkan,” kata William.

Dalam perjanjian dengan PSB dan PBK, PBDS akan menggunakan logo partinya sendiri.

William berkata PBDSB akan bertanding di empat kerusi luar bandar majoriti Dayak - Baram, Sibuti, Kapit dan Julau. – 30 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen