UKRAINE pada Jumaat menyalahkan Moscow kerana membedil konvoi kereta awam di wilayah selatan Zaporizhzhia yang mengorbankan sekurang-kurangnya 23 orang.
Gabenor wilayah Zaporizhzhia Oleksandr Starukh berkata, serangan itu turut mencederakan 28 orang, “semua orang awam, orang tempatan.”
Seorang pegawai pro-Kremlin di wilayah Zaporizhzhia yang diduduki Rusia menyalahkan Kyiv dan menafikan tentera Rusia bertanggungjawab atas serangan itu.
“Rejim di Kyiv cuba menggambarkan apa yang berlaku sebagai bedilan oleh tentera Rusia, menggunakan provokasi kejam,” kata Vladimir Rogov di media sosial, menuduh tentera Ukraine melakukan “tindakan keganasan”.
Gabenor Zaporizhzhia berkata tentera Rusia “melancarkan serangan roket ke atas konvoi kemanusiaan awam dalam perjalanan keluar dari tengah wilayah itu”.
“Orang ramai beratur untuk bertolak ke wilayah yang diduduki sementara, menjemput saudara mara dan mengambil bantuan,” katanya di media sosial.
Gabenor Starukh juga menyiarkan gambar, menunjukkan dua baris kereta musnah dan beberapa mayat bergelimpangan berhampiran.
Hab perindustrian Zaporizhzhia, dengan populasi sebelum perang 700,000, berada di bawah kawalan Ukraine tetapi tertakluk kepada serangan roket Rusia. – AFP, 30 September, 2022.
Komen