MENJELANG pilihan raya umum (PRU) yang akan tiba, nampaknya Umno dan PAS masih berusaha keras menggunakan modal basi “derita 22 bulan” untuk menyerang Pakatan Harapan (PH).
Hakikatnya kenyataan pimpinan Umno dan PAS ini tersasar daripada realiti kerana rakyat Malaysia sendiri boleh menilai pencapaian PH semasa menjadi kerajaan di Putrajaya.
Sebelum dijatuhkan melalui pengkhianatan Langkah Sheraton, PH melaksanakan sebahagian besar manifesto yang dijanjikan dalam PRU yang lalu.
Antaranya adalah menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) menurunkan kadar tol secara berperingkat, menstabilkan subsidi dan harga minyak, mengawal harga serta bekalan harga barang keperluan terutama semasa musim perayaan, menstruktur semula pelaksanaan projek-projek mega, memberi royalti kepada negeri pembangkang.
Selain itu, PH juga terpaksa mencuci “najis” yang ditinggalkan pentadbiran Umno terutamanya melaksanakan pemulihan ke atas Tabung Haji (TH) dan memastikan dana 1MDB dari luar negara dapat dikembalikan.
Langkah PH yang melantik golongan profesional atau teknokrat yang berpengalaman serta berwibawa untuk mengepalai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membawa impak positif dalam tempoh singkat.
Sikap terbuka kerajaan terhadap media memulihkan kedudukan demokrasi manakala pelaksanaan kontrak terbuka telah mengelakkan daripada wujudnya unsur-unsur rasuah. Hasilnya, kedudukan indeks persepsi rasuah Malaysia mencatatkan prestasi membanggakan.
Malah pada saat-saat akhir sebelum PH dijatuhkan secara tidak bermaruah melalui Langkah Sheraton, kadar jangkitan Covid-19 yang mula melanda negara berjaya dikawal.
Tidak dinafikan berlaku kelemahan tetapi hal ini dibaiki secara terbuka dan telus berbanding mengambil sikap berdalih dan memberi 1,001 alasan.
Namun begitu, tatkala rakyat Malaysia boleh menerima kesan perubahan positif yang di bawah pentadbiran PH, rakyat Malaysia perlu faham naratif “derita 22 bulan” hanya terkesan kepada Umno dan PAS sahaja.
Bagi Umno, “derita 22 bulan” bermakna pemimpin mereka tidak lagi boleh sakau duit rakyat dan negara kerana tidak lagi menjadi kerajaan seperti yang berlaku dalam kes 1MDB.
Sepanjang 22 bulan pentadbiran PH, memang Umno amat menderita kerana tanpa kuasa kerajaan, tiada lagi sumber kewangan untuk diagih-agihkan kepada kroni mereka melalui pemberian kontrak dan projek kerajaan.
Ketika menjadi kerajaan dahulu, selepas menjarah kewangan negara melalui pelaksanaan projek-projek yang mengkayakan kroni dan suku-sakat mereka, GST pula dilaksanakan untuk menampung sumber negara yang semakin susut.
Disebabkan itulah, Umno ditolak pengundi dalam PRU pada 2018 kerana sikap mereka sendiri yang menindas rakyat melalui GST.
Sekarang, Umno bermain drama air mata dan berlagak sebagai juara rakyat kononnya untuk membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara walaupun Umno juga yang menjadi juara isu-isu perkauman dan agama.
Hukuman penjara terhadap Najib Razak membuktikan memang wujud jenayah salah guna kuasa dan rasuah walaupun dianggap fitnah oleh Umno dan PAS.
PAS juga tidak perlu berlakon kononnya turut terkesan dengan “derita 22 bulan” kerana pada tempoh itu jugalah, rakyat Kelantan menyaksikan para pemimpin kerajaan negeri Kelantan berbelanja mewah dengan membeli Mercedes Benz walaupun hak rakyat mendapat bekalan air bersih terus dinafikan.
Dari mana kerajaan negeri Kelantan memperoleh kewangan yang besar sebanyak RM400 juta?
Tentunya itu sumbangan daripada kerajaan PH sebagai royalti dan hak yang perlu dinikmati oleh rakyat Kelantan, bukannya untuk pemimpin bermewah-mewah.
Selepas PAS dan Umno menjadi kerajaan secara pintu belakang, adakah nasib rakyat sudah bertambah baik? Tidak sama sekali. Malah situasi semasa menunjukkan keadaan menjadi lebih buruk.
Harga barangan pun tidak terkawal walaupun dahulu Umno dan PAS begitu lantang berkempen “Buy Muslim First” (BMF). Ke mana perginya kempen itu sekarang?
Apakah pendirian Umno dan PAS sekarang terhadap Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang dahulu menjadi sasaran utama mereka terhadap PH.
Apakah yang kerajaan sekarang lakukan dalam tragedi kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, ICERD, Dong Zong dan sebagainya yang pernah menjadi permainan politik jahat Umno dan PAS satu ketika dahulu?
Ternyata semua hal ini hanyalah mangsa permainan persepsi Umno dan PAS untuk menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.
Lebih buruk lagi apabila negeri yang ditadbir oleh PAS juga gagal menunjukkan contoh yang baik. Penganjuran Kedah Fashion Week 2022 diikuti dengan pertandingan bina badan wanita di Kedah dan konsert di Ketereh, Kelantan yang berlangsung menunjukkan sikap hipokrit parti yang kononnya memperjuangkan Islam sebagai sistem pemerintahan.
Apa yang PAS lakukan hanyalah “mencuci kaki” sahaja dengan mengaut kejayaan hasil pentadbiran cekap PH seperti yang berlaku pada TH.
Nasihat kami kepada Umno dan PAS, berhentilah menjadi golongan munafik yang berpolitik dengan prejudis yang jahat dan tidak berasas. Berpolitiklah secara matang dan membina. – 30 September, 2022.
* Khalid Abd Samad, pengarah Komunikasi Amanah merangkap ahli Parlimen Shah Alam.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen