RUU Perkhidmatan Parlimen jangka dibentang November, kata Rais Yatim


Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim berkata Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang sedang menyediakan Draf RUU Perkhidmatan Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2022.

RANG Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen dijangka akan dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-14 pada November ini.

Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim berkata mesyuarat khas berkenaan transformasi Parlimen yang dipengerusikan beliau telah diadakan di Blok Utama Parlimen Malaysia, semalam.

“Dalam mesyuarat tersebut dimaklumkan proses Transformasi Parlimen pada ketika ini sedang berjalan lancar. Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) sedang menyediakan Draf RUU Perkhidmatan Parlimen yang dipantau oleh Jawatankuasa Transformasi Parlimen dari semasa ke semasa.

“RUU Perkhidmatan Parlimen yang disediakan termasuk Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen, pindaan ke atas Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 serta Kod Etika Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Turut hadir pada mesyuarat itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Pengarah BHEUU Jabatan Perdana Menteri Abd Syukor Mahmood dan pegawainya serta wakil Jabatan Peguam Negara. – Bernama, 30 September, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen