Ismail Sabri PM Malaysia, bukan Umno sahaja, kata Guan Eng


Elill Easwaran

PM Ismail Sabri Yaakob disaran lebih utamakan rakyat berbanding kepentingan peribadi politik parti itu dalam membuat keputusan tarikh PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2022.

LIM Guan Eng mengingatkan Ismail Sabri Yaakob yang beliau bukan sahaja perdana menteri Umno tetapi juga bagi 32 juta rakyat Malaysia, menjelang mesyuarat pemimpin parti itu malam ini bagi membincangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Beliau mesti mengutamakan kesejahteraan rakyat berbanding kepentingan politik peribadi Umno yang mementingkan diri sendiri,” kata pengerusi DAP itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Lim berkata Ismail Sabri perlu mendahulukan rakyat susulan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam.

MetMalaysia mengeluarkan kenyataan semalam berkata  musim antara monsun dijangka bermula Isnin sehingga akhir November dengan angin dan ribut petir pada sebelah petang yang boleh menyebabkan banjir. 

Beliau menambah, kerajaan mempunyai tugas asas untuk membenarkan pengundi membuang kertas undi mereka di pusat mengundi dalam persekitaran yang teratur, selamat, terjamin dan tenang.

“Oleh itu, Ismail Sabri harus mengambil kira perkara ini untuk meyakinkan lima pemimpin tertinggi Umno bahawa adalah bodoh dan tidak bertanggungjawab untuk mengadakan pilihan raya umum semasa musim tengkujuh.

Lima pemimpin tertinggi Umno ialah presiden parti Ahmad Zahid Hamidi, timbalan presiden Mohamad Hasan dan tiga naib presiden – Khaled Nordin, Mahdzir Khalid dan Ismail.

Ahli Parlimen Bagan itu turut mempersoalkan bagaimana pengundi boleh melaksanakan tugas mereka sebagai rakyat Malaysia jika terpaksa mengharungi banjir untuk mengundi.

“Rakyat tidak boleh diletakkan dalam risiko dan bahaya demi memenuhi kehendak politik dan angan-angan ahli politik yang tidak jujur dan mementingkan diri sendiri.

“Sebab itu, ini peluang yang baik untuk Ismail Sabri menjadi perdana menteri dengan mengadakan pilihan raya umum tahun depan,” katanya.

Pemimpin Barisan Nasional (BN) sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan yang Parlimen akan dibubarkan pada minggu kedua Oktober dan pengundian akan berlangsung sebulan selepas itu.

“Ia bergantung kepada Suruhanjaya Pilihan Raya tetapi saya rasa pilihan raya umum kali ini akan diadakan pada hujung minggu, bukan hari bekerja seperti kali terakhir atau rakyat akan marah lagi.

“BN akan meneruskannya walaupun terdapat kritikan pilihan raya akan diadakan sejurus selepas kerajaan membentangkan bajet dan semasa musim tengkujuh akhir tahun yang biasanya menyebabkan banjir kilat,” kata sumber itu. – 30 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen