Rohingya tinggalkan 'garisan kosong' kerana ancaman Myanmar 


Keadaan di kem penempatan sementara pelarian Rohingya di Bangladesh. Pelarian berkenaan yang tinggal di garisan kosong kini berdepan ancaman tentera Myanmar.– Gambar EPA, 28 Februari, 2018.

RATUSAN pelarian Rohingya yang tinggal di kawasan ‘garisan kosong’ meninggalkan kem penempatan sementara mereka dan menyeberang masuk ke Bangladesh selepas tentera dari Myanmar menggunakan pembesar suara untuk mengancam mereka, kata pemimpin komuniti itu. 

Kira-kira 6,000 pelarian Rohingya yang tinggal di kawasan tanah sempit antara dua negara berkenaan sejak melarikan diri daripada Myanmar berikutan keganasan tentera terhadap etnik minoriti Islam itu sejak Ogos tahun lalu. 

Mereka merupakan antara pelarian pertama yang lari daripada Myanmar sejak keganasan tercetus akhir tahun lalu dan mendirikan penempatan sementara di kawasan berkenaan beberapa minggu sebelum Bangladesh bersetuju untuk membenarkan pelarian berkenaan memasuki negaranya. 

Sejak beberapa minggu lalu, mereka ditekan oleh pihak tentera yang memperketatkan rondaan di sempadan yang dipenuhi kawat duri hanya beberapa meter daripada kem berkenaan dan memberikan mesej menerusi pembesar suara mengarahkan etnik Rohingya meninggalkan kawasan berkenaan. 

Pemimpin komuniti Dil Mohammad berkata mesej berkenaan menyebabkan suasana panik di kem berkenaan.

“Kini kami tidak boleh tidur dengan lena. Kebanyakan Rohingya di kem itu kini mahu meninggalkannya dan mencari perlindungan di Bangladesh,” kata Mohammad. 

“Kira-kira 150 keluarga sudah meninggalkan kem untuk ke Bangladesh kerana mereka takut akan dipaksa pulang semula ke Rakhine,” katanya kepada AFP, merujuk kepada kawasan Myanmar di mana Rohingya pernah tinggal sebelum ini. 

Pihak berkuasa pengawal sempadan Bangladesh berkata, tentera Myanmar memainkan rakaman pengumuman itu sekurang-kurangnya 10 hingga 15 kali sehari. 

Dalam pengumuman itu, mereka menggesa pelarian Rohingya untuk meninggalkan kawasan berkenaan, dan berkata tanah yang diduduki mereka di bawah bidang kuasa mereka dan mengancam untuk menghukum mereka sekiranya masih tinggal di situ. – AFP, 28 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen